
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju mengisytiharkan hari Khamis, 19 Mac sebagai Hari Kelepasan Am bagi seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada rakyat membuat persiapan akhir menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk mengisytiharkan hari Khamis, 29 Ramadan 1447H bersamaan 19 Mac 2026 sebagai Cuti Hari Kelepasan Am bagi seluruh Negeri Terengganu Darul Iman sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengekalkan satu lagi Hari Kelepasan Am Negeri pada Isnin, 23 Mac 2026 seperti yang telah diwartakan sebelum ini.
Katanya, cuti tersebut diwartakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] pada 30 Oktober 2025.
Untuk rekod, proses penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri bergantung kepada penampakan anak bulan pada waktu Maghrib, 29 Ramadan di mana juga perlu mengikut kriteria yang sudah ditetapkan menerusi Imkanur-Rukyah.
Difahamkan, 29 lokasi di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan pada Khamis depan untuk menentukan tarikh 1 Syawal.
Ahli Jawatankuasa Rukyah dan Falak Wilayah Persekutuan, Shahrin Ahmad berkata, penggunaan kriteria Imkanur-Rukyah ini sudah dipersetujui untuk digunakan oleh Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura. – HARAKAHDAILY 16/3/2026











