Mohon penjelasan dalam Sidang DUN juga terima LOD

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ustaz Mohd Yusni Mat Piah menzahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid apabila pertanyaan beliau pada Didang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Pulau Pinang pada November lalu dianggap fitnah.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga itu berkata, persoalan berkenaan isu penyalahgunaan dana zakat oleh Majlis Agama Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hanya dibangkitkan beliau pada Sidang DUN, tidak pada majlis lain seperti ceramah atau sebagainya.

“Sebagai salah seorang ADUN, sewajarnya saya membangkitkan persoalan sedemikian untuk penjelasan tetapi sebaliknya saya antara yang menerima notis tuntutan (LOD) kononnya memfitnah Timbalan Ketua Menteri (TKM) 1 Pulau Pinang,” katanya.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, notis tuntutan tersebut baharu sahaja diterimanya, namun beliau belum sempat meneliti isi kandungan sepenuhnya.

Kata Ustaz Yusni, pada Sidang DUN lalu, beliau memohon penjelasan berkenaan wang berjumlah RM178,000 yang dipercayai dari dana zakat digunakan untuk menyelesaikan baki bayaran rumah individu tertentu.

“Ini soal agama. TKM 1 yang juga sebagai Yang DiPertua (YDP) MAINPP, sepatutnya memberi penjelasan berkaitan isu-isu yang melibatkan zakat dan MAINPP.

“(Kerana) perkara yang saya bangkitkan adalah perkara besar yang melibatkan dana zakat yang dikeluarkan atas kepentingan individu tertentu bukannya atas kepentingan para asnaf,” tegasnya lagi.

Lebih mengecewakan ujarnya, apabila soalan tersebut diajukan, beliau diminta agar membuat permohonan kepada pihak zakat untuk mendapatkan keterangan serta salinan dokumen, kononnya MAINPP telahpun menyelesaikan 58 kes seumpama itu sebelum ini.

Namun malangnya ujar Mohd Yusni, apabila permohonan telah dibuat, pihaknya mendapat reaksi balas dari pihak zakat bahawa salinan dokumen tersebut tidak dapat diserahkan kepadanya.

“Sedangkan TMK 1 telahpun memberi jaminan pada sidang DUN lalu, salinan dokumen itu akan beliau perolehi apabila dibuat permohonan tetapi berlaku sebaliknya. Untuk sidang DUN akan datang saya akan minta senarai 58 orang yang TKM 1 maksudkan.

“Saya akan kaji satu persatu berkenaannya. Sebab kononnya, sebelum ini dah ada kes melangsaikan baki hutang guna dana zakat.Kita nak tengok berapa orang yang terlibat,” tambah beliau lagi.

Seperkara lagi, beliau turut mengambil perhatian kepada isu pembelian tanah menggunakan dana zakat bernilai hampir RM10 juta, walaupun Jawatankuasa Majlis Fatwa tidak mengizinkan tindakan sedemikian.

“Sepatutnya Ketua Menteri Pulau Pinang, mengambil tindakan terhadap Dr Mohamad kerana beliau terpalit dalam isu penyalahgunaan dana awam ini,” katanya lagi. – *HARAKAHDAILY 16/3/2026*

- Advertisement -