
APABILA konflik geopolitik meletus di Asia Barat, ramai yang fokus kepada fizikal peperangan. Tetapi bagi rakyat Malaysia, persoalan yang paling utama adalah, apa kesannya kepada perut rakyat, kos sara hidup, dan harga bahan makanan?
Kita tahu betapa Selat Hormuz ialah antara laluan tenaga paling kritikal di dunia. 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia lalu ikut Selat ini. Sebarang ancaman kepada laluan ini akan beri tekanan kepada pasaran minyak dan gas global, kemudian mendorong kenaikan kos tenaga serta rantaian bekalan antarabangsa.
Kini Amerika telah membuat onar dengan menyerang Pulau Kharg yang merupakan hub penting minyak dan gas Iran. Sebagai balasan, Iran serang hub minyak dan gas seluruh negara Asia Barat terutamanya yang guna laluan Selat Hormuz.
Masalahnya, apabila harga tenaga dunia terganggu, negara yang terlalu bergantung kepada import akan menerima tempias yang jauh lebih berat. Harga minyak dan gas naik, kos pengangkutan bahan makanan naik, maka kos pengimportan bahan makanan masuk kedalam negara akan berlipat kali ganda.
Dan di sinilah kegagalan sebenar Kerajaan Madani terserlah. Nak lebih tepat kegagalan Mat Sabu.
Kerajaan mungkin boleh berhujah bahawa konflik geopolitik bukan salah mereka. Betullah itu. Bukan Putrajaya yang cetuskan perang. Bukan juga PMX yang kawal Selat Hormuz. Tetapi kegagalan kerajaan bukan terletak pada tercetusnya konflik, namun pada kegagalan mereka mempersiapkan negara menghadapi kesan konflik.
Bila harga diesel naik, kesannya bukan setakat pada pam minyak. Kenaikan ini memberi kesan terus kepada kos logistik, lori, kapal, rantaian gudang, penghantaran dan pengedaran. Akhirnya, semua kos itu akan mengalir masuk ke harga barang.
Dan apabila negara masih bergantung besar kepada import makanan, rakyatlah yang menjadi mangsa paling awal. Inilah yang membimbangkan. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sepatutnya mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh pengeluaran domestik.
Fungsi kementerian ini bukan sekadar bercakap mengenai ‘keterjaminan makanan’ dalam seminar atau forum, tetapi memastikan negara benar-benar lebih tahan apabila dunia bergolak.
Namun apa yang berlaku? Bukannya import semakin berkurang, sebaliknya beban import kekal besar. Berdasarkan angka import agromakanan, ia meningkat daripada RM78.7 bilion pada 2023 kepada RM93.72 bilion pada 2024. Jika benar sasaran kerajaan ialah mengurangkan kebergantungan kepada luar, maka trajektori ini menunjukkan keadaan yang bertentangan.
Dalam erti kata lain, ketika dunia semakin tidak menentu, Malaysia masih belum cukup bersedia untuk melindungi rakyat daripada gelombang kenaikan harga.
Kalau bekalan makanan asas benar-benar diperkukuh dalam negara, apa juga gangguan geopolitik di luar tidak akan terlalu menyesakkan rakyat. Kenaikan kos mungkin tetap berlaku, tetapi impaknya lebih terkawal. Malangnya, apabila negara terus bergantung kepada import, setiap krisis luar akan terus diterjemahkan menjadi tekanan harga di dalam negara.
Yang lebih menyedihkan, bila kos meningkat, pengimport dan pengedar tidak akan serap semuanya sendiri. Kos itu akhirnya dipindahkan kepada pengguna. Rakyat marhaen yang membeli barang dapur akan terasa. Peniaga kecil akan terasa. Pengusaha restoran akan terasa. Dan akhirnya seluruh rantaian ekonomi domestik akan menanggung beban.
Bila PMX baru ni pesan suruh rakyat berjimat cermat dan menabung, sebenarnya Kerajaan dah baca apa akan berlaku dalam sebulan dua ni. PMX sebut bekalan minyak dan gas negara cukup sehingga bulan Mei 2026. Mat Sabu kata bekalan bahan makanan cukup sehingga pertengahan tahun 2026. Selepas tu? Saya bimbang sangat-sangat.
Jadi janganlah setiap kali harga naik, kerajaan hanya muncul dengan skrip lama iaitu penguatkuasaan, pemantauan, dan amaran kepada peniaga. Itu semua rawatan simptom, bukan menyelesaikan punca penyakit. Puncanya ialah negara gagal membina daya tahan bekalan makanan sendiri ketika ada ruang dan masa untuk berbuat demikian.
Sebab itu, dalam isu ini, kegagalan bukan sekadar pada angka import yang meningkat. Kegagalan yang lebih besar ialah kegagalan kerajaan berfikir jauh, kegagalan merancang awal, dan kegagalan bertindak sebelum krisis menjadi barah kepada rakyat.
Bercakap soal keterjaminan makanan memang mudah. Bentang pelan, umum dasar, buat forum juga mudah. Tetapi apabila krisis sebenar datang dan rakyat mula dihimpit kos sara hidup, slogan tak boleh dimasak jadi lauk, forum tak boleh dihidang atas meja, dan kenyataan media tidak boleh mengenyangkan perut rakyat.
Akhirnya, rakyat dapat apa? Jadi bila dunia bergolak akibat konflik geopolitik, yang terlondeh adalah Kerajaan Madani sebab gagal merancang dan melindungi rakyat.
Kerajaan Madani gagal!
Salam Hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/3/2026











