
DALAM satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional Republik Islam Iran, Ali Larijani yang ditujukan kepada seluruh umat Islam dan negara Dunia Islam, beliau mengecam sesetengah negara Dunia Islam yang menganggap Iran sebagai musuh kerana menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara mereka walhal ia digunakan untuk menyerang Iran dan menyoal adakah patut Iran berdiam diri apabila diserang. Beliau turut mempersoalkan dan mengecam kerana tiada langsung negara Dunia Islam yang datang membantu Iran sambil menambah Amerika Syarikat tidak akan setia dan Israel adalah musuh. Sambil mengungkap hadis Rasulullah SAW mengenai makna bantu membantu sesama umat Islam dalam kesusahan, beliau menyoal di pihak mana negara Dunia Islam memihak sedangkan Iran adalah negara Islam. Akhir sekali dalam kenyataannya, Ali Larijani berkata fikirkan mengenai masa depan dan perpaduan umat Islam serta rantau Asia Barat, Iran tidak mempunyai niat untuk menguasai Dunia Islam dan menambah bahawa perpaduan umat Islam dengan segala kekuatannya dapat menyedia dan menjamin keselamatan, kemakmuran dan kemerdekaan semua negara.
Tentera Iran atau IRGC terus menghujani negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron menyasarkan Tel Aviv, Jerusalem, Negev, Dimona, Beit Shemesh, Rishon LeZion, Peta Tivka, Holon, Lod, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Shoham dan lain-lain tempat lagi.
Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad, Iraq. Serangan bertali arus Tentera Iran atau IRGC semalam dilaporkan mengakibatkan beberapa letupan besar berlaku di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, depoh simpanan minyak mentah dan kompleks petrokimia di Fujairah, UAE dan pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad, Iraq.
IRGC dilaporkan telah melancarkan serangan ke atas depoh simpanan senjata utama tentera Amerika Syarikat yang terletak di pangkalan tentera udara Al-Dhafra di UAE. IRGC turut mendakwa bahawa 80 peratus infrastruktur utama pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Teluk telah musnah. IRGC sekali lagi memberi amaran kepada Amerika Syarikat untuk mengeluarkan kesemua fasiliti sektor perindustriannya di Asia Barat dan menggesa penduduk yang tinggal berdekatan industri terbabit segera beredar demi keselamatan mereka. Jurucakap IRGC dilapor menyatakan bahawa majoriti daripada peluru berpandu yang digunakan dibuat lebih daripada 10 tahun lalu dan peluru berpandu yang dibuat selepas ‘perang 12 hari’ masih lagi tidak digunakan. IRGC dalam kenyataan terbaharunya menyatakan ia telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera udara Sheikh Isa di Bahrain dan pangkalan tentera udara Al-Dhafra di UAE yang menyasarkan pesawat pejuang tentera udara Amerika Syarikat.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata Iran bersedia untuk berperang hingga ke pengakhiran dan tidak akan meminta gencatan senjata. Beliau turut menafikan laporan media Barat bahawa beliau berhubung dengan Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat, Steve Witkoff. Dalam masa yang sama Kementerian Luar Iran menyatakan bahawa Iran tidak akan memaafkan Ukraine jika ia terbabit sama dalam pencerobohan ke atas Iran.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata “kini masyarakat semakin lupa mengenai Palestin, ia akan menjadi ‘tamparan yang amat hebat’ kepada komuniti antarabangsa khususnya PBB. Pertamanya semua negara-negara Arab di Asia Barat perlu memikul tanggungjawab mereka berkenaan perkara ini”. Beliau turut berkata “Amerika Syarikat berfikir dengan pencerobohan tanpa sebarang sebab, mereka mampu menumpaskan Iran dalam masa sehari. Saya percaya sekarang orang-orang ini faham betapa silapnya mereka dan betapa ‘sesatnya’ mereka”.
Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Karaj, Hamedan, Isfahan, Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad, Arak dan lain-lain tempat lagi. Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel dilaporkan juga melancarkan serangan ke atas ibu pejabat kompleks bekalan elektrik di Timur Tehran yang mengakibatkan beberapa orang pekerja dilaporkan terkorban dan mengalami kecederaan.
Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Khiam, Nabatieh, Qantara, Haboush, Bani Hayyan, Taybeh, Qabrikha, Bint Jbeil, Tyre dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan. Mengikuy laporan rejim penjajah rejim Zionis Israel menggunakan bom fosforus putih yang dilarang pengunaannya ketika melancarkan serangan udara ke atas Khiam.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam wawancaranya dengan Financial Times memberikan ancaman kepada negara anggota NATO berikutan keengganan menghantar kapal perang bagi membantu tentera laut Amerika Syarikat membuka Selat Hormuz dengan berkata “jika gagal berbuat demikian, ia akan menjadi ‘sangat buruk’ kepada masa depan NATO”. Beliau juga mengancam untuk membatalkan lawatan rasminya ke China pada hujung bulan ini jika China enggan bekerjasama menghantar kapal perang bagi membantu membuka Selat Hormuz.
Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Galilee, Ashdod, Askalan, Kiryat Shmona, Margilot, Manara, Bukit Golan, Misgav Am, Shomera, Nahariya dan sebahagian besar wilayah Utara negara haram Israel.
Ahli Knesset (Parlimen) negara haram Israel yang sedang bersidang tengahari semalam lari bertempiaran dalam ketakutan keluar dari dewan Knesset berikutan siren dibunyikan akibat ancaman peluru berpandu Iran ke atas Tel Aviv.
Duta Iran ke Arab Saudi, Alireza Enayati menyatakan bahawa hubungan Iran dengan negara-negara Teluk memerlukan ‘kajian semula yang serius’ berikutan perang berterusan Amerika Syarikat dan negara haram Israel ke atas Iran.
Axios melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sedang merancang untuk menawan dan mengambil alih terminal eksport minyak mentah utama Iran yang terletak di Pulau Kharg di mana beliau berpendapat dengan melakukan demikian ia dapat membuka semula Selat Hormuz dan dalam masa sama mampu melumpuhkan ekonomi Iran.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
27 Ramadan 1447H / 17 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 17/3/2026











