Gelagat jemaah ‘urut bahu berantai’ di masjid cuit hati

Netizen sifatkan simbol ukhuwah selepas solat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebuah video memaparkan gelagat jemaah di sebuah masjid yang saling mengurut bahu antara satu sama lain selepas solat tular di media sosial telah mencuri perhatian ramai netizen.

- Advertisement -

Rakaman berdurasi kira-kira 45 saat itu menunjukkan puluhan jemaah duduk bersaf di atas sejadah sambil mengurut bahu individu di hadapan mereka secara berantai.

Suasana santai dan penuh ceria itu dipercayai berlaku selepas solat berjemaah di masjid berkenaan yang mengimarahkan ibadah Ramadan tahun ini.

Dalam video tersebut, jemaah yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dilihat duduk dalam barisan panjang, masing-masing meletakkan tangan di bahu rakan di hadapan sambil mengurut secara bergilir-gilir.

Ada tersenyum, malah ada juga yang ketawa melihat gelagat rakan-rakan di sekeliling.

Keadaan itu mewujudkan suasana mesra dan penuh keakraban, sekali gus menggambarkan hubungan persaudaraan yang erat dalam kalangan jemaah.

Video tersebut dengan pantas mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata terhibur dengan gelagat spontan berkenaan.

“Ini baru betul ukhuwwah dalam masjid. Lepas solat dapat pahala, bonus dapat urut sekali,” komen akaun pengguna media sosial Wardatul_hamra’.

Seorang lagi pengguna media sosial Diatul @ Akmal turut menyifatkan dapat mengerat hubungan silaturahim tak kira tua muda.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, tapi tempat bina persaudaraan. Tengok pun rasa seronok,” katanya.

Selain itu, ada juga netizen yang berseloroh menyatakan mereka turut mahu menyertai aktiviti santai seperti itu.

“Kalau macam ni tiap malam pergi masjid pun tak apa. Solat dapat, urut pun dapat.”

Tidak kurang juga yang memuji suasana harmoni dan persaudaraan yang terpancar dalam rakaman tersebut.

“Inilah keindahan Islam. Datang masjid bukan saja solat, tapi eratkan silaturahim.”

Sehingga kini, video tersebut terus dikongsi oleh pengguna media sosial dan mendapat pelbagai reaksi positif yang melihatnya sebagai gambaran ukhuwah dan kegembiraan dalam kalangan jemaah masjid.

Ramai juga berharap suasana seperti itu dapat terus memeriahkan institusi masjid sebagai tempat bukan sahaja beribadah, tetapi juga membina hubungan persaudaraan dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 17/3/2026

- Advertisement -