
KUALA LUMPUR: Persatuan Undang-Undang dan Hak Asasi Rakyat (PRUHART) Malaysia menyifatkan pemergian tokoh kehakiman negara, Tan Sri Siti Norma Yaakob, sebagai satu kehilangan besar kepada institusi perundangan dan legasi yang ditinggalkannya akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu.
Pengerusi PRUHART Malaysia, Nor Raihan Abdullah, berkata Allahyarhamah bukan sahaja dikenang sebagai hakim wanita pertama negara, malah pelantikannya telah membuka ruang lebih luas kepada penglibatan wanita dalam sistem kehakiman sivil mahupun perkembangan institusi kehakiman Syariah.
“Sumbangan Allahyarhamah membuktikan kemampuan wanita dalam menegakkan keadilan serta memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem perundangan negara dengan penuh integriti dan kebijaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam pentadbiran masyarakat sebenarnya telah lama wujud dalam sejarah Islam, seperti pelantikan Shifa bint Abdullah sebagai ‘Al-Muhtasib’ (Ketua Pegawai Penguatkuasa Pasaran) oleh Khalifah Umar al-Khattab.
“Jawatan tersebut yang mengawasi integriti ekonomi masyarakat pada zaman itu boleh diibaratkan setaraf dengan institusi pengawalselia moden seperti Suruhanjaya Sekuriti hari ini.
“Malah, sejarah turut mencatatkan kebijaksanaan Ummul Mukminin, Umm Salamah RA, yang memberikan nasihat strategik kepada Rasulullah SAW ketika peristiwa Perjanjian Hudaybiyyah bagi meredakan ketegangan,” katanya.
Nor Raihan berkata, legasi Siti Norma bukan sahaja menjadi kebanggaan negara tetapi memperkukuhkan fakta sejarah bahawa wanita berupaya menggalas amanah dalam bidang pentadbiran, penggubalan dasar, dan pengurusan masyarakat sejak awal tamadun Islam.
“PRUHART merakamkan ucapan takziah dan penghargaan setinggi-tingginya atas segala jasa Allahyarhamah kepada dunia perundangan Malaysia. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2026











