Kes baru di peringkat ‘ex-parte’ – Peguam YK

- Advertisement -

SELAYANG: Yayasan Kubra (YK) menyangkal laporan media mendakwa mahkamah mengeluarkan perintah supaya kerja-kerja merobohkan sebuah kuil di Rawang dihentikan sementara sehingga kes diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

- Advertisement -

Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff menyifatkan laporan tersebut sebagai mengelirukan kerana tiada sebarang arahan halangan atau perintah sedemikian dilafazkan oleh Majistret dalam prosiding semalam.

Beliau menjelaskan, prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret Selayang pada Jumaat itu hanyalah berkaitan pengurusan kes terhadap aduan yang difailkan oleh pihak kuil di bawah Seksyen 99(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Kenyataan yang mendakwa Mahkamah memerintahkan kerja meroboh dihentikan sementara adalah tidak benar dan mengelirukan. Manipulasi terhadap perintah mahkamah adalah satu tindakan yang serius dan boleh membawa kepada penghinaan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Muhammad Hariz berkata, permohonan dibuat oleh pihak kuil di bawah Seksyen 99 KTJ itu sebenarnya hanya tertumpu kepada isu pertikaian tanah yang didakwa boleh mengganggu ketenteraman awam, bukannya bidang kuasa untuk menentukan hak milik berdaftar tanah tersebut.

“Pihak kuil sendiri dalam hujahannya tidak mempertikaikan hak milik berdaftar Yayasan Kubra ke atas tanah berkenaan. Malah, permohonan itu difailkan di Mahkamah Jenayah, bukan Mahkamah Sivil,” jelas beliau.

Mengulas mengenai keputusan itu, Muhammad Hariz memaklumkan bahawa Majistret hanya mengeluarkan perintah awalan (preliminary order) selepas berpuas hati wujudnya pertikaian harta tak alih yang berpotensi menggugat ketenteraman masyarakat setempat.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan semua pihak yang terlibat untuk hadir ke pendengaran di bawah Seksyen 99(4) KTJ bagi menentukan isu berkaitan milikan sebenar (actual possession) sahaja.

“Mahkamah juga telah menegaskan bahawa isu hak milik atau hak undang-undang ke atas tanah tersebut tidak akan disentuh dalam prosiding ini,” katanya.

Tambah beliau, pihak Yayasan Kubra telah mengarahkan pasukan peguam untuk mendapatkan alasan penghakiman dan nota prosiding (CRT) bagi tujuan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak memanipulasi fakta kes atau menyebarkan andaian yang salah sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kes ini baru di peringkat ex-parte (sebelah pihak). Yayasan Kubra bersedia mengemukakan fakta dan keterangan kukuh apabila tiba masanya nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2026

- Advertisement -