Giatkan pelaksanaan ‘Penerbangan Ehsan Nasional’

Bagi bawa pulang rakyat Malaysia di zon perang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempergiat pelaksanaan ‘Penerbangan Ehsan Nasional’ bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap dalam situasi Perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Mumtaz Md Nawi menegaskan, keutamaan negara mestilah terhadap nyawa dan kebajikan rakyat Malaysia yang masih berada di zon konflik Timur Tengah ketika ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu mengesyorkan, intervensi boleh diusahakan dengan menambah penerbangan khas evakuasi serta bekerjasama dengan syarikat penerbangan yang mempunyai operasi di rantau tersebut.

“Situasi keselamatan di Timur Tengah semakin meruncing dan tidak menentu. Ramai rakyat Malaysia, termasuk pelajar, pekerja dan keluarga, kini berada dalam keadaan cemas serta terdedah kepada risiko keselamatan yang serius.

“Keutamaan negara sekarang bukan prosedur, tetapi keselamatan rakyat Malaysia yang terperangkap di kawasan konflik,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Konflik yang telah memasuki hari ke-15 itu dilihat semakin memburuk dengan negara terbabit dilihat mempertingkatkan aktiviti dan pergerakan aset ketenteraan ke zon konflik secara aktif serta penuh provokasi.

Ketika sama pihak-pihak terlibat juga dilihat saling berbalas kenyataan bersifat mempertahankan diri dan juga ancaman yang membayangkan tempoh masa perang boleh terheret lebih lama, sekali gus memberi kesan global.

Dato’ Mumtaz sehubungan itu juga meminta kerajaan mewujudkan talian bebas tol (hotline) kecemasan khusus Krisis Timur Tengah sebagai pusat penyelarasan maklumat dan bantuan kepada rakyat Malaysia di zon konflik.

“Talian ini juga penting bagi menyalurkan maklumat terkini kepada keluarga mereka di Malaysia. Dalam situasi perang seperti ini, kerajaan tidak boleh bertindak secara minimum atau berlengah.

“Setiap kelewatan meningkatkan risiko kepada rakyat Malaysia di kawasan tersebut,” ujarnya mahu kerajaan memastikan semua sumber dan kerjasama strategik, termasuk syarikat penerbangan digerakkan sepenuhnya.

Beliau berharap agar usaha evakuasi membawa pulang rakyat Malaysia di semua zon terlibat konflik meruncing itu dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan demi keselamatan mereka. – HARAKAHDAILY 14/3/2026

- Advertisement -