
KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 200 penerima dalam kalangan golongan dewasa dan kanak-kanak disantuni menerusi program Semarak Kasih anjuran Yayasan Permata Ummah (YPU) bersama Pertubuhan Kami Prihatin Malaysia (PKPM) yang berlangsung di Lorong Haji Taib, di sini.
Penasihat Pertubuhan Kami Prihatin Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, program yang diadakan pada itu merupakan tanda keprihatinan kedua-dua organisasi terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam suasana bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.

“Melalui inisiatif tersebut, para penerima menerima sumbangan duit raya serta edaran makanan sebagai usaha meringankan beban dan pada masa sama membolehkan mereka turut merasai kegembiraan menjelang Aidilfitri,” katanya yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Menurut beliau lagi, program berkenaan membawa slogan ‘Semarak Kasih, Menyantuni Insan’ dengan harapan setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal kebajikan yang diberkati.

Penyampaian sumbangan dan pengagihan makanan telah disempurnakan oleh Pegawai Operasi Yayasan Permata Ummah, Khairul Amir Razman.
Tambah Dr Rosni, penganjuran program berkenaan turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam menyemai nilai keprihatinan, kasih sayang dan solidariti masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.

“Usaha tersebut diharapkan menjadi langkah kecil yang memberi makna besar kepada para penerima, selain menggalakkan lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2026











