
KUALA TERENGGANU: Program berbuka puasa di rumah penduduk yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu menjadi rutin Ramadan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Pendekatan sedemikian menjadi kesempatan kepada beliau untuk lebih memahami kehidupan sebenar masyarakat dengan berpeluang merasai sendiri suasana kehidupan mereka di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam komuniti di kawasannya.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar menikmati juadah berbuka puasa, sebaliknya menjadi ruang untuk berkongsi rezeki serta menyantuni rakyat secara lebih dekat.
“Berbuka puasa di rumah rakyat ini bukan sekadar menikmati juadah berbuka, tetapi lebih bermakna kerana dapat merasai dan memahami kehidupan sebenar rakyat di samping menjadi ruang untuk bermuhasabah diri,” katanya.
Berbeza dengan kebiasaan, juadah berbuka dibawa sepenuhnya oleh Wan Sukairi sendiri tanpa perlu disediakan oleh tuan rumah, malah beliau sendiri menghidangkan dan melayan seisi keluarga sepanjang kunjungannya itu.
Wan Sukairi berkongsi, sepanjang Ramadan, sebanyak 12 rumah dipilih setiap tahun untuk program berkenaan berdasarkan cadangan daripada Unit Daerah Mengundi (UDM) di kawasan DUN tersebut.

Katanya, pemilihan rumah dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk keluarga asnaf, keluarga mempunyai ramai ahli, serta rumah yang dilihat uzur.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri berkata, menu nasi Arab dipilih setiap kali program tersebut diadakan kerana penyediaannya lebih mudah selain sesuai untuk dikongsi bersama.
“Sejak saya adakan program iftar di rumah rakyat ini yang kini telah masuk tahun keempat, memang menu yang kita bawa sama sahaja iaitu nasi Arab.
“Bukan apa, mudah dan tidak memerlukan banyak lauk, selain sesuai dimakan bersama ramai orang,” ujarnya.
Selepas berbuka, beliau menyampaikan sumbangan berupa barang dapur dan wang tunai kepada keluarga berkenaan sebagai tanda prihatin serta sokongan terhadap mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tuan rumah yang sudi menerima kunjungan rombongan untuk berbuka puasa bersama.
Katanya, perkongsian rezeki yang turut mendapat tajaan daripada TNB Terengganu itu diharapkan membawa kegembiraan kepada keluarga berkenaan serta mengeratkan lagi ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat.
“Semoga Allah SWT melimpahkan keberkatan rezeki, mengurniakan kesihatan yang baik serta mempermudahkan segala urusan keluarga ini dan semoga ukhuwah yang terjalin terus mekar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebelum majlis berbuka puasa diadakan, pihaknya turut mengagihkan juadah kuih-muih kepada kira-kira 50 rumah penduduk sekitar. – HARAKAHDAILY 13/3/2026











