Mangsa banjir di Sabah disantuni Khidmat Malaysia

RM50,000 berjaya dikumpulkan untuk bantuan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) berjaya menghimpunkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Sabah.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mengetuai sendiri misi bantuan yang dilaksanakan di Beaufort, Sipitang dan Tenom sejak kelmarin, 11 Mac dan dijangka akan berakhir hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau bantuan tersebut adalah hasil keprihatinan masyarakat di mana tampil menghulur sumbangan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada warga penduduk setempat yang terkesan akibat bencana banjir.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban mangsa di mana mereka masih berdepan kesukaran untuk membina semula kehidupan menjelang Aidilfitri.

“Khidmat Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga masyarakat yang prihatin menghulurkan sumbangan. Setiap ringgit diberikan melambangkan semangat persaudaraan dan solidariti umat dalam membantu mereka yang sedang diuji,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa bulan Ramadan adalah waktu yang sangat digalakkan untuk memperbanyakkan sedekah kerana ganjarannya dilipatgandakan oleh Allah SWT sebagaimana hadis riwayat al-Tirmizi.

Datuk Dr Ahmad Marzuk berkata, masyarakat digalakkan memanfaatkan baki Ramadan yang masih ada untuk terus menyumbang dan menabung saham pahala bagi kehidupan akhirat.

Dalam masa yang sama, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menzahirkan penghargaan kepada para sukarelawan Khidmat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut.

“Misi ini turut memperlihatkan pengorbanan para sukarelawan yang turun membantu mangsa banjir walaupun dalam keadaan berpuasa. Tenaga, masa dan peluh mereka dicurahkan demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Orang ramai yang ingin terus meraih ganjaran pahala Ramadan kepada usaha bantuan kemanusiaan ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam 12225010037517 atas nama Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia.

Ahmad Marzuk berharap sumbangan masyarakat akan terus membantu meringankan beban mangsa banjir serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/3/2026

- Advertisement -