‘Mengadu tak cukup duit sekolah anak, tapi bakar mercun’

Guna wang untuk membakar mercun adalah pembaziran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan perbuatan membelanjakan wang untuk membeli dan membakar mercun sebagai satu pembaziran.

Beliau berkata, wang yang dibelanjakan untuk mercun boleh hangus dalam tempoh tidak sampai lima minit walaupun nilainya mencecah ratusan ringgit.

- Advertisement -

“Tidak sampai 5 minit, hangus beratus ringgit. Apa yang kita dapat? Kadang-kadang orang yang sama mengadu tidak cukup duit untuk cukupkan keperluan anak-anak sekolah,” tempelak beliau dalam media sosial miliknya.

Ahmad Amzad berkata, bagi mereka yang berkemampuan, wang sama boleh dimanfaatkan dengan bersedekah atau dimasukkan ke tabung masjid dan surau.

Selain itu katanya, wang tersebut juga boleh disumbangkan kepada pelbagai madrasah, tahfiz serta rumah anak-anak yatim dan kebajikan.

“Alangkah besarnya pahala dan kelebihan. Lebih lebih lagi kita di 10 hari terakhir Ramadan. Semoga Ramadan ini lebih bererti untuk kita semua dalam membentuk kita menjadi insan yang bertakwa,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan beberapa cubaan penyeludupan mercun, perisa shisha dan tembakau kunyah dengan nilai keseluruhan termasuk duti serta cukai dianggarkan RM1.54 juta.

Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan itu membabitkan beberapa kontena yang dipintas di Puncak Alam dan Zon Bebas Pelabuhan Barat selepas didapati mengandungi barangan diisytiharkan secara palsu atau tanpa permit import.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan tanpa permit serta membuat pengisytiharan palsu kepada kastam. – HARAKAHDAILY 13/3/2026

- Advertisement -