
KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) menetapkan bahawa pelantikan jawatan Timbalan Pengerusi dalam struktur organisasinya ditentukan oleh setiap parti komponen dalam Majlis Pimpinan Tertinggi gabungan itu.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri berkata, struktur pentadbiran gabungan berkenaan memperuntukkan wakil daripada setiap parti bagi mengisi jawatan tertentu, kecuali pengerusi yang mengetuai keseluruhan gabungan.
Menurut beliau yang juga Naib Presiden PAS, pihak BERSATU telah menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai wakil parti tersebut sekali gus memegang jawatan Timbalan Pengerusi dalam PN.
“Bagi Parti Islam Se-Malaysia pula, Presiden, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak berada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi, sebaliknya hanya berada dalam Majlis Presiden PN.
“Justeru, beliau menamakan Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai wakil parti untuk mengisi jawatan Timbalan Pengerusi dalam gabungan ini,” katanya.
Samsuri berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan Tahun 2026 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi yang menyebut Tuan Ibrahim sebagai memegang jawatan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional di Alor Setar, Sabtu lalu.
Tambah beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, parti komponen lain seperti GERAKAN dan MIPP turut mempunyai wakil masing-masing yang kebiasaannya terdiri daripada presiden parti untuk memegang jawatan Timbalan Pengerusi.
Katanya, pelantikan itu merupakan sebahagian daripada susunan struktur pentadbiran PN bagi memastikan setiap parti komponen mempunyai perwakilan dalam kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Terdahulu, Tuan Guru secara terbuka menyebut bahawa Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu diumumkan beliau semasa berucap mengalu-alukan para dif kehormat ketika menyampaikan ceramah Majlis Sambutan Nuzul Quran 1447H di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
Untuk rekod, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian adalah merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi PN sejak ia ditubuhkan pada tahun 2020 dengan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau juga dilantik menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika gabungan dianggotai bersama PAS, BERSATU dan GERAKAN itu membentuk Kerajaan Persekutuan, sebelum disusuli penyertaan MIPP kemudiannya. – HARAKAHDAILY 12/3/2026











