Terengganu salur bantuan khas kewangan Aidilfitri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam negeri sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan tersebut telah dipersetujui sebelum ini dan mula disalurkan pada hari ini, Khamis.

Menurut beliau, pemberian itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan penjawat awam negeri yang berjumlah lebih 14,000 orang.

“Kerajaan negeri telah membuat keputusan sebelum ini dan ia telah dipersetujui untuk menyalurkan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri.

“Bantuan ini diberikan kepada semua kakitangan kerajaan negeri tanpa mengira peringkat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Rhu Rendang) dan Ahli Parlimen Kemaman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu
(PERMATA) Kebangsaan Tahun 2026 di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa beliau tidak akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.

“Saya nak maklum bahawa bagi Menteri Besar untuk tahun ini juga tidak ada rumah terbuka sebagaimana sebelum,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan tidak mengadakan rumah terbuka menggunakan dana awam, beliau berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan di peringkat kerajaan negeri.

“Apa yang saya fahamnya ialah maksud yang disebut oleh Perdana Menteri tu ialah yang menggunakan dana awam.

“Jadi, kalau sekiranya jabatan-jabatan itu ataupun agensi ataupun GLC ingin mengadakan program hari raya dengan secara potluck mereka sendiri, saya rasa itu tidak menjadi halangan,” katanya.  – HARAKAHDAILY 12/3/2026

- Advertisement -