
KOTA BHARU: Peniaga bazar Aidilfitri di Kelantan dibenarkan melanjutkan waktu operasi sehingga lewat malam bagi memberi peluang menghabiskan jualan pada malam menjelang hari raya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, berdasarkan lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), kebiasaannya bazar Aidilfitri ditetapkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.
Namun katanya, kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada peniaga untuk meneruskan operasi sekiranya masih terdapat pelanggan dan barangan jualan yang belum habis.
“Kalau ikut lesen, bazar Aidilfitri beroperasi sehingga jam 12 tengah malam. Namun sekiranya masih ramai pelanggan dan barangan jualan belum habis, kita beri sedikit kelonggaran kepada peniaga,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Menurutnya, kelonggaran tersebut diberikan bagi membantu peniaga menghabiskan jualan pada malam raya yang lazimnya menjadi waktu paling sibuk.
Tambahnya, walaupun diberikan kelonggaran masa, peniaga tetap diminta memastikan aspek kebersihan kawasan perniagaan sentiasa dijaga.
“Kerajaan negeri berharap semua peniaga bazar Aidilfitri dapat mengemas dan membersihkan kawasan perniagaan masing-masing selepas tamat berniaga.
“Kita mahu bandar dan kawasan tumpuan orang ramai berada dalam keadaan bersih apabila menyambut hari raya keesokannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2026











