Kurangkan sidang media elak ‘mulut luas’ buat dosa

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, pihaknya jarang mengadakan sidang media kebelakangan ini untuk mengurangkan manipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Menteri Besar itu berkata kepada pengamal media, kerap kali bahan kenyataannya melalui sidang media dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.

“Saya tak mahu buang masa, nak kena perbetul semula keadaan sebenar. Kita cakap mereka ‘pusing’ (spinned). Kalau buat sidang media kerap pun, ada pihak yang ‘pusing’. Dunia ini ramai yang suka ‘pusing’.

“Orang yang nak buat kerja betul dan jalan ‘straight’ (lurus) ni tak ramai dah,” kata beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS ketika ditemui media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, walaupun kekerapan sidang media tidaklah seperti dahulu, namun semua kerja dan perancangan kerajaan negeri berjalan dengan lancar.

Sanusi mengulas hal tersebut untuk menjawab persoalan dari pengamal media apabila sidang media yang selalunya diadakan setiap kali selesai mesyuarat Exco, agak kurang sejak kebelakangan ini.

“Sekali sekala saya panggil la.. bukanlah maksud saya yang pusing cerita itu adalah pengamal media yang berada di hadapan saya ni.(Tetapi) mereka yang ambil bahan kenyataan sidang media saya dari media sosial atau medium lain kemudian cuba ‘spinned’ untuk kelirukan orang lain.

“Sempena Ramadan ni, mai kita buat kerja yang betul, ikhlas, tenang, tak dak pusing-pusing,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Mereka yang berkelakuan sedemikian katanya, memang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai apabila kenyataan atau pemaklumannya diambil separuh kemudian disunting hingga menyimpang dari maksud sebenar.

“Jadi nak elak orang tu dapat dosa percuma, lebih baik saya tak payah cakap. Saya rasa jalan itu lebih selamat untuk saya dan pihak yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sanusi menyifatkan mereka yang gemar membuat provokasi atau memusing fakta kenyataannya itu sebagai ‘mulut luas’ atau ‘mulut besar’.

Tetapi jelasnya lagi, mulut luas itu bukanlah bermakna fizikal bermulut sedemikian, tetapi lebih kepada ditujukan kepada mereka yang bercakap banyak tetapi tidak betul serta cuba tunjuk pandai.

“Bukanlah mulut luas tu makna fizikal dia mulut luas atau besar. Kalau fizikal, mulutnya sambung sekali dengan telinga. Tu fizikal mulut luas. Tapi mulut luas ni mereka yang bercakap seolah-olah semua benda macam dia tau, walhal dia tak tau pun.

“Dia buat kesalahan, lepas tu dia hasut orang lain buat kesalahan juga, yang tu la maksudnya mulut luas,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/3/2026

- Advertisement -