
KUALA LUMPUR: Penduduk di Pantai Timur, khususnya Terengganu dan Kelantan, kini berdepan cuaca panas terik yang dijangka berlarutan sehingga awal Aidilfitri.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata, keadaan cuaca panas ketika ini berlaku kerana negara berada di penghujung Monsun Timur Laut, tempoh di mana cuaca lazimnya menjadi lebih panas dan kering sebelum memasuki fasa peralihan monsun.
Sementara tinjauan dalam media sosial mendapati rata-rata netizen mengeluh walaupun suhu maksimum dicatat sekitar 33°C, ramai yang mendakwa bahang yang dirasai seolah-olah melebihi 40°C.
Sementara Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang dalam kenyataannya pula berkata, cuaca panas ini menandakan negara kini berada dalam tempoh peralihan monsun.
“Dalam fasa ini, rantau Malaysia cenderung mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa gabungan penghujung Monsun Timur Laut dan peralihan monsun menyebabkan suhu panas dirasai lebih ketara.
“Tambahan pula, fenomena Ayunan Madden–Julian (MJO) turut meningkatkan keadaan kering di atmosfera, sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di beberapa kawasan,” ujarnya.
Tambah beliau, cuaca panas dijangka berlarutan sehingga minggu pertama Aidilfitri, namun keadaan sebenar bergantung kepada perubahan sistem atmosfera kerana faktor cuaca boleh berubah dengan cepat.
Dalam pada itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi, mengelak aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari dan melindungi kanak-kanak dan golongan berisiko daripada panas terik.
“Penduduk juga digalakkan mengikuti maklumat terkini melalui laman rasmi MetMalaysia atau media sosial bagi mendapatkan ramalan cuaca semasa dan amaran panas,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 11/3/2026











