
SEBANYAK 17 organisasi kemanusiaan antarabangsa telah memfailkan petisyen kepada Mahkamah Agung di Israel bagi menghentikan rancangan rejim negara haram itu yang mahu melarang operasi puluhan NGO di wilayah Palestin.
Larangan tersebut yang bermula pada awal Mac lalu telah menjejaskan sekurang-kurangnya 37 organisasi bantuan yang kini menjadi talian hayat kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat terutamanya Baitulmaqdis Timur.
Dalam petisyen yang difailkan secara bersama, organisasi-organisasi tersebut memohon perintah penarikan serta merta terhadap larangan tersebut sementara mahkamah menjalankan semakan kehakiman penuh.
Semua pempetisyen khuatir dengan tindakan rejim itu mengakibatkan ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan akses kepada bantuan asas yang kritikal.
Di Gaza, keadaan kemanusiaan masih tidak menentu. Lebih dua juta penduduk terus bergantung kepada bantuan luar untuk mendapatkan makanan, air bersih, rawatan kesihatan, tempat perlindungan dan keperluan asas lain selepas kemusnahan besar yang berlaku akibat peperangan yang berlarutan lebih dua tahun.
Kemasukan bantuan yang terhad serta serangan berterusan di kawasan berpenduduk padat terus memburukkan lagi penderitaan penduduk awam.
Sementara itu di Tebing Barat terutamanya Baitulmaqdis Timur, masih berlaku operasi ketenteraan, perobohan kediaman, pengusiran penduduk, peluasan penempatan haram serta insiden keganasan pendatang Yahudi. Kesemuanya ini semakin meningkatkan keperluan kepada bantuan kemanusiaan.
Banyak keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan menjadikan bantuan dari luar sebagai satu-satunya solusi jangka pendek bagi kelangsungan hidup.
Di bawah peraturan baharu yang diperkenalkan rejim Israel, organisasi kemanusiaan diwajibkan menyerahkan maklumat terperinci mengenai petugas-petugas warga Palestin kepada pihak berkuasa Israel. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, operasi bantuan kemanusiaan yang dikendalikan di Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur akan dihentikan serta-merta.
Organisasi-organisasi tersebut menegaskan bahawa tuntutan tersebut bukan sahaja membahayakan keselamatan kakitangan dan petugas tempatan malah berpotensi mendedahkan mereka kepada tindakan balas dan ini menjadi ancaman terhadap keselamatan mereka. Selain itu, langkah tersebut juga bercanggah dengan prinsip kemanusiaan dan pendedahan data peribadi.
Menurut data daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sekurang-kurangnya 133 pekerja NGO telah terkorban dalam serangan Israel di Gaza sejak peperangan bermula pada Oktober 2023.
Dalam kenyataan bersama mereka, organisasi-organisasi ini memberi amaran bahawa penghentian operasi bantuan akan membawa kepada kemudaratan besar yang tidak dapat dipulihkan kepada ratusan ribu penduduk yang sangat memerlukan bantuan.
Sebagai jalan penyelesaian, organisasi-organisasi tersebut telah mencadangkan beberapa mekanisme alternatif termasuk sistem saringan kakitangan yang diaudit oleh penderma antarabangsa tanpa perlu menyerahkan senarai kakitangan kepada pihak berkuasa Israel. Cadangan ini bertujuan memastikan ketelusan operasi bantuan sambil melindungi identiti petugas kemanusiaan bagi tujuan keselamatan.
Dalam situasi kemanusiaan yang semakin kritikal, komuniti antarabangsa digesa untuk memberi perhatian serius terhadap perkembangan ini demi memastikan kelangsungan hidup golongan yang terjejas di wilayah-wilayah Palestin yang tertindas.
Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief)
11 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 11/3/2026











