
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menegaskan jentera pemuda sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya pada bila-bila masa, dengan persiapan merangkumi organisasi, mobilisasi akar umbi serta pengukuhan jaringan anak muda.
Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, Mohd Zulwafi Bahaudin, berkata landskap politik Malaysia kini sedang mengalami perubahan ketara, khususnya dengan kemunculan pengundi baharu daripada kelompok Gen Z.
“Generasi ini membesar dalam era digital, mudah diakses pelbagai sumber maklumat, dan lebih kritikal dalam menilai kepimpinan serta dasar politik.
“Berbeza dengan generasi sebelumnya, Gen Z melihat politik melalui beberapa dimensi utama iaitu integriti kepimpinan, keadilan sosial, peluang ekonomi, kestabilan masa depan serta keaslian mesej politik. Mereka tidak lagi mudah terikat kepada sentimen tradisional semata-mata, sebaliknya menilai kemampuan kepimpinan dalam menawarkan penyelesaian kepada cabaran semasa,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.
Beliau berkata bagi mendekati generasi muda, Pemuda PAS Selangor melancarkan Program Figura Anak Muda (FAM) untuk mengangkat pemimpin-pemimpin muda yang mampu menyampaikan idea segar dan membumi kepada Gen Z.
Selain itu, kempen “Youth To Change (Y2C)” diperkenalkan bagi membentuk gelombang anak muda yang inginkan perubahan, dengan menekankan politik berprinsip, bersih, berintegriti, serta berteraskan nilai murni.
“Pemuda PAS melihat generasi muda bukan sekadar kumpulan pengundi, tetapi sebagai rakan strategik dalam membina masa depan negara. Pendekatan politik yang berprinsip dan berintegriti akan menjadi asas penting dalam mendekati generasi ini,” ujarnya.
Beliau turut berkata, Dewan Pemuda PAS Selangor sebelum ini telah banyak terlibat dalam program pendidikan politik, kempen kesedaran sosial, serta mobilisasi akar umbi di peringkat negeri. Mereka juga memainkan peranan penting dalam membina jaringan anak muda yang progresif serta aktif dalam isu masyarakat, ekonomi dan politik.
Seiring dengan itu, Pemuda PAS Selangor yakin gelombang kesedaran politik anak muda semakin berkembang dan generasi ini berpotensi menjadi faktor penentu dalam keputusan pilihanraya akan datang.
Mohd Zulwafi menegaskan bahawa jentera Pemuda PAS Selangor bersedia sepenuhnya apabila pilihanraya diumumkan, dengan komitmen untuk bekerja, menyusun strategi, merancang gerak kerja lapangan dan memastikan kemenangan pada Pilihanraya Umum ke-16 (PRU16).
“Pemuda PAS akan terus menjadi penggerak utama dalam memimpin aspirasi anak muda ke arah negara yang lebih adil, stabil dan berprinsip,” katanya. HARAKAHDAILY – 10/3/2026











