Agenda Islam, Melayu, Bumiputera dijulang kembali

Lapan parti politik cari titik persamaan demi ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera buat julung kali duduk semeja membincangkan isu-isu penting berkaitan agama, bangsa dan masa depan rakyat di negara ini.

Musyawarah Isu-isu Islam dan Bumiputera itu menghimpunkan lapan parti politik yang mempunyai komposisi sokongan Islam, Melayu dan Bumiputera itu berlangsung di World Trade Centre (WTC) di sini malam tadi.

- Advertisement -

Antara parti terlibat ialah Umno, PAS, PKR, PAN, GRS, BERJASA, KIMMA dan IKATAN dalam satu pertemuan yang dianggap sangat bersejarah itu.

Musyawarah tersebut dipengerusikan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki atas amanah Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mencetuskan idea bagi menghimpunkan parti-parti berkenaan tanpa mengira kedudukan sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang.

Mencari titik temu demi kepentingan Islam

Menurut Asyraf, musyawarah itu menjadi wahana penting bertukar pandangan secara terbuka mencari titik persefahaman dalam perkara menyentuh kepentingan bersama melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam pertemuan itu menegaskan bahawa dalam sistem demokrasi, perbezaan pandangan antara parti politik adalah sesuatu yang lumrah.

Namun katanya, apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, perkara itu seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan semua pihak melangkaui perbezaan politik kepartian.

“Musyawarah ini menjadi medan terbaik untuk kita sama-sama mencari titik-titik persamaan,” katanya.

Fokus kepada Islam, ekonomi dan pendidikan

Antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah usaha memperkukuhkan kedudukan Islam serta kepentingan ekonomi dan pendidikan masyarakat Bumiputera.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pertemuan itu memperlihatkan usaha untuk mencari titik persamaan di tengah perbezaan demi kepentingan Islam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, apabila menyentuh kepentingan ummah, ruang dialog sentiasa terbuka demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Pertemuan pertama seumpamanya

ADUN Sungai Ramal, Ustaz Mohd Shafie Ngah pula memaklumkan bahawa pertemuan tersebut merupakan kali pertama seumpamanya dianjurkan yang melibatkan lapan parti politik berteraskan Islam dan Bumiputera.

Katanya, hasil awal perbincangan tersebut menyaksikan semua pihak bersetuju untuk menubuhkan satu platform khusus bagi meneruskan dialog antara parti-parti terbabit.

“Kesimpulan awalnya adalah untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam Melayu Bumiputera,” katanya yang juga selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Bangi,

Sekretariat itu menurut Mohd Shafie, dicadangkan sebagai platform untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan amalan Islam serta isu ekonomi dan pendidikan Bumiputera.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ucapannya menyambut baik usaha menganjurkan pertemuan tersebut.

Beliau berharap tindakan segera bagi menubuhkan sekretariat berkenaan demi kepentingan memelihara amalan Islam serta kepentingan Melayu dan Bumiputera, sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kebersamaan demi kepentingan ummah

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, pertemuan tersebut membuka ruang kepada wakil parti-parti politik untuk membincangkan kepentingan kebersamaan dalam satu-satu isu penting demi kebaikan Islam dan Bumiputera.

Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan musyawarah tersebut sebagai perkembangan yang menarik dalam suasana negara yang sedang berhadapan dengan beberapa isu melibatkan umat Islam.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu berkata, pertemuan tersebut tidak berkait dengan sebarang gerakan politik tertentu, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera.

Beliau menegaskan, apabila parti-parti politik bersatu dalam memperjuangkan agenda tersebut, kekuatan bersama dapat dicapai ibarat segenggam lidi sukar dipatahkan, berbanding sebatang lidi.

Penubuhan sekretariat musyawarah

Dalam pertemuan itu, semua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform rundingan berterusan.

Sekretariat tersebut dijangka menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan serta dialog terbuka secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Langkah itu dilihat sebagai satu usaha untuk mewujudkan ruang perbincangan yang lebih tersusun antara parti-parti politik dalam isu berkaitan agama dan kepentingan masyarakat Bumiputera.

Disambut baik pelbagai pihak

Usaha tersebut turut disambut baik oleh beberapa pimpinan parti lain.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abd Samad berkata penubuhan sekretariat musyawarah tersebut selari dengan agenda parti itu untuk membina pemikiran Melayu bermaruah yang berteraskan politik nilai.

Dalam masa sama, Ketua Cabang PKR Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik turut berkongsi suasana santai pertemuan itu melalui perbualan mesra antara beberapa pemimpin parti yang hadir.

Ke arah kesefahaman bersama

Musyawarah itu juga dilihat sebagai langkah awal ke arah membina kesefahaman dalam isu yang melibatkan kepentingan agama dan bangsa.

Seperti dinyatakan oleh beberapa pemimpin yang hadir, walaupun parti-parti politik mempunyai perbezaan pandangan dalam banyak perkara, isu melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera wajar menjadi asas kebersamaan.

Pertemuan itu diharapkan menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan untuk bermuafakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan ummah dan masa depan negara. – HARAKAHDAILY 6/3/2026

- Advertisement -