Serangan AS–Israel gagal runtuhkan kerajaan Iran

- Advertisement -

TEHRAN: Struktur pemerintahan kerajaan Iran sehingga kini tidak terancam oleh operasi ketenteraan besar-besaran Amerika Syarikat-Israel di tengah-tengah peningkatan permusuhan selama lebih enam hari dengan 12 negara terlibat dalam konflik di seluruh Timur Tengah.

- Advertisement -

Memetik pegawai Eropah dan Arab yang diberi taklimat mengenai penilaian kedudukan rejim itu, The Washington Post dalam laporannya mengatakan bahawa tiada sebarang pembelotan atau pemberontakan jalanan yang efektif muncul di Iran sejak AS dan Israel melancarkan serangan terancang di seluruh negara Republik Islam itu pada Sabtu, 28 Februari 2026.

Seorang pegawai kanan Eropah memberitahu The Washington Post dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, bahawa tiada satu pun tanda keretakan telah dikesan dalam sistem dalaman pemerintahan kerajaan Iran dan kawalan rejim kekal lengkap dan kental.

“Iran telah membina lapisan kepimpinan berlebihan yang direka untuk terus berfungsi walaupun selepas tokoh tertinggi dihapuskan, dengan komander baharu dilantik dalam beberapa hari selepas pendahulu mereka dibunuh,” katanya.

Dengan menyatakan bahawa perisikan AS tidak menemui petunjuk awal keruntuhan dalaman kerajaan Iran, laporan itu juga memetik seorang pegawai kanan Arab yang berkata, negara-negara Teluk menjangkakan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei akan mencetuskan mobilisasi besar-besaran terhadap rejim negara itu tetapi tindak balas awam yang dijangkakan sebaliknya tidak pernah berlaku.

Ketegangan telah melonjak di Timur Tengah selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran bermula 28 Februari lepas, mengorbankan lebih 1,000 orang, termasuk Khamenei dan 168 murid sekolah rendah perempuan di daerah selatan Iran.

Israel juga telah meluaskan konflik menentang Hezbollah di Lubnan.

Iran pula telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel dan tapak yang berkaitan dengan AS di negara-negara Teluk, sekali gus mengganggu laluan tenaga serantau.

Serangan udara besar-besaran Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari itu merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operation Lion’s Roar, yang menyasarkan kepimpinan tertinggi Iran serta kemudahan ketenteraan dan strategik di beberapa bandar utama termasuk Teheran.

Dalam operasi tersebut, Khamenei dilaporkan terkorban selepas serangan udara yang menyasarkan lokasi kepimpinan tertinggi negara itu, sekali gus mencetuskan krisis geopolitik besar di rantau Timur Tengah.

Beberapa pemimpin kanan ketenteraan Iran turut terbunuh dalam serangan itu, termasuk Panglima Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) ketika itu, Mohammad Pakpour, yang turut terkorban dalam serangan udara yang sama.

Berikutan kematian beliau, Iran dengan segera melantik bekas menteri pertahanan dan pegawai kanan keselamatan, Ahmad Vahidi, sebagai Panglima Tertinggi baharu IRGC pada 1 Mac 2026 bagi memastikan kesinambungan struktur ketenteraan negara ketika perang sedang memuncak.

Sejak itu dan pada ketika ini, konflik perang terus memuncak dengan serangan balas dron dan peluru berpandu oleh Iran ke atas sasaran Israel serta pangkalan berkaitan AS di beberapa negara Teluk, menimbulkan kebimbangan bahawa peperangan ini boleh berkembang menjadi konflik serantau yang lebih luas di Timur Tengah. – HARAKAHDAILY 6/3/2026

- Advertisement -