
KUALA LUMPUR: PAS menegaskan kegagalan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri, bukannya disebabkan salah faham dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dakwaan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang menyatakan kegagalan tersebut berpunca daripada salah faham pembangkang adalah tidak tepat dan dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.
Menurutnya, kegagalan itu berlaku kerana kerajaan tidak berjaya memastikan kehadiran serta sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen di pihaknya sendiri ketika sesi pengundian yang memerlukan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat.
“Percubaan untuk menyalahkan pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menyerlahkan sikap kebudak-budakan dan pemalas kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semasa sesi perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang telah beberapa kali menjelaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti secara menyeluruh dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional berkata perkara itu berkait rapat dengan peranan serta kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada baginda melantik Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.
Selain itu, katanya, pihak pembangkang turut mencadangkan supaya sebarang cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan perkara tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Menurutnya, langkah itu penting kerana pindaan berkenaan berpotensi memberi implikasi terhadap peranan, kedudukan serta kemuliaan institusi Raja-Raja dalam sistem pemerintahan negara.
“Sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibuat secara teliti dan berhemah serta mendapat sokongan konsensus yang luas dalam kalangan ahli Parlimen,” katanya.
Beliau menegaskan kegagalan dalam isu berkenaan adalah tanggungjawab kerajaan sendiri kerana gagal memastikan sokongan mencukupi bagi meluluskan pindaan yang memerlukan majoriti dua pertiga.
Dalam masa sama, Takiyuddin berkata PAS kekal komited untuk menyokong usaha reformasi yang tulen, jujur dan berhemah selagi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus serta selari dengan semangat dan kehendak Perlembagaan negara.
Terdahulu, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian daripada usaha reformasi institusi bagi mengelakkan penumpuan kuasa terlalu lama. Bagi melaksanakannya, kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, cadangan pindaan itu gagal diluluskan selepas tidak memperoleh sokongan mencukupi semasa sesi pengundian di Dewan Rakyat. HARAKAHDAILY – 6/3/2026











