
SALAH satu peristiwa besar berlaku di dalam bulan Ramadan adalah peperangan Badar. Pertempuran bersejarah ini berlangsung pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, bersamaan 13 Mac 624 Masihi. Keanggotaan tentera Muslimin berjumlah sekitar 313 orang, dipimpin oleh Rasulullah SAW, manakala Abu Jahl pula mengetuai 1000 orang tentera Musyirikin Quraish.
Al-Quran merakamkan kejadian ini sebagai Youm al-Furqan – Hari Pembeza, dalam firman-Nya bermaksud: “…jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada ‘Hari al-Furqan’, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Anfal: 41).
Catatan sirah telah menukilkan bagaimana kebijaksanaan Rasulullah SAW sebagai pencatur strategi peperangan berjaya menewaskan berkali ganda bilangan lawannya dalam peperangan tersebut, dengan izin dan pertolongan Nasr Allah.
Nasr Allah tidak hadir tanpa I’dad (persiapan) dan Isti’dad (kesiapsiagaan) Rasulullah SAW dalam fasa pra pertempuran bersejarah itu. Baginda sebenarnya telah membuat persediaan dua ke tiga bulan lebih awal sebelum peperangan itu terjadi, iaitu antara bulan Rejab sehingga awal Ramadan pada tahun berkenaan.
Persediaan inilah yang telah membingkai persiapan dan kesiapsagaan merangkumi pemetaan strategi, penguasaan maklumat, logistik dan medan tempur secara komprehensif. Terdapat beberapa tindakan yang dapat dikategorikan sebagai I’dad (persiapan) dan isti’dad (kesiapsiagaan) Baginda Rasulullah SAW sewaktu fasa pra Badar.
Pertama, Rasulullah SAW cuba memperolehi sebanyak mungkin maklumat menerusi ekspedisi tinjauan lapangan dan perutusan unit perisikan. Untuk itu, Baginda telah mengirim sepupunya Abdullah bin Jahsy bersama lapan orang Muhajirin ke laluan strategik berdekatan Nakhlah, tempat di antara Taif dan Makkah pada bulan Rejab. Tujuannya adalah untuk merisik mengenai kawalan keselamatan, bilangan keanggotaan serta kapasiti muatan kafilah, tanpa memulakan pertempuran.
Untuk motif yang sama, Rasulullah SAW juga turut menghantar Talhah bin Ubaidillan bersama Said bin Zaid ke Hawra, sebuah kawasan di pesisir di arah Barat Madinah untuk membuat tinjaun dan menyampaikan informasi mengenai kafilah dagangan yang diketuai oleh Abu Sufyan, beberapa hari menjelang tarikh pertempuran.
Abu Sufyan juga tidak ketinggalan mendahului kafilahnya meninjau laluan kafilah serta merisik risiko keselamatan rombonganya ke Makkah melalui jalan terdekat, iaitu Badar. Beliau telah menemui seorang penduduk di sumber air, dimaklumkan bahawa terdapat dua orang penunggang berhenti di atas bukit untuk mengambil air. Setelah bergegas ke tempat tersebut, Abu Sufyan mendapati terdapat beberapa biji tamar di dalam najis binatang dan mengesahkan bahawa ia adalah biji kurma dari Yathrib. Dengan demikian, ia mengalihkan laluan perjalanan ke Makkah tanpa melintasi kawasan Badar. Sebelumnya, Abu Sufyan telahpun mengirim Damdam ibn Amr al-Ghifari dengan nada provokasi kembali ke Makkah.
Bagi memastikan perancangan ketenteraan berjalan licin, baginda Rasulullah SAW telah berjaya mengadakan perjanjian dengan suku-suku badwi yang tinggal sekitar lokasi strategik di sepanjang pesisir Laut Merah seperti kabilah Bani Dhamrah dan kabilah Bani Mudlij. Perjanjian dengan pihak-pihak berkenaan memberi impak langsung politik dengan tindakan ketenteraan yang bakal diambil, di samping memencilkan pengaruh kaum musyirikin Quraish.
Menurut Ibn Hisyam, Rasulullah SAW juga telah mengadakan beberapa siri misi bersenjata seperti ekspedisi ke Usyairah, Lembah Safawan serta menghantar sariyyah (ekspedisi tentera) kaum Muslimin berserta sejumlah tentera ke al-Kharar di Hijaz. Siri seumpama ekspedisi ini sebenarnya mengasah semangat isti’dad kaum Muslimin untuk sedia berperang sekiranya ditakdirkan bertembung dengan kafilah musyirikin Quraish.
Selain itu, sirah juga merakamkan bahawa Baginda telah melantik ketua suku Khazraj, Saad bin Ubadah untuk mengurus Madinah semasa ketiadaannya ketika ekspedisi tentera buat kali pertama sekitar penghujung tahun 623M. Perlantikan bertaraf interim ini adalah satu penghormatan kepada Saad, yang juga merupakan orang pertama mendapat kepercayaan untuk mengurus hal ehwal negara berkenaan dalam tempoh tersebut.
Hakikatnya, banyak faedah yang dapat dikutip dari beberapa siri kejadian dan tindakan Rasulullah SAW semasa pra Badar untuk ahli jamaah soroti dan mengambil iktibar demi pengukuhan parti. Sebagai contoh, misi meninjau dan risik merupakan asas perolehan data mentah yang mesti dicapai, dinilai dan dianalisa, meskipun terpaksa bergadai nyawa. Ketepatan informasi membuatkan si pencatur mudah menyusun strategi serta mengambil tindakan yang tepat.
Dapatan maklumat di sini merupakan misal tindakan I’dad (persiapan) yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Begitu juga pemetraian perjanjian tahalluf (diplomasi) antara kabilah-kabilah badwi di pesisir Laut Merah membuka lembaran penguasaan laluan strategik sepanjang laluan kafilah.
Fokus Rasulullah SAW lebih terserlah dengan pembinaan karektor dan jiwa atau isti’dad nufus (kesiapsiagaan jiwa) ke atas kaum Muslimin dengan mengadakan beberapa misi ketenteraan termasuklah mobilisasi sariyyah Rasulullah SAW ke beberapa destinasi, serta pengisian jawatan interim oleh Saad bin Ubadah bagi memastikan pengurusan di Madinah berjalan lancar. Ia menguji tahap kesediaan kaum Muslimin menerima arahan serta melaksanakannya dengan penuh displin.
Walau bagaimanapun, ahli parti juga perlu menyedari bahawa bukan pihak parti sahaja membuat risikan, malah pihak lawan juga berbuat demikian, bertujuan untuk mencari titik lemah parti. Ahli perlu cakna bahawa pihak lawan juga berupaya membuat kejutan atau anjakan strategi sebagaimana Abu Sufyan mengirim terlebih dahulu Damdam al-Ghifari ke Makkah sebagai counter strategy untuk berhadapan dengan tentera Rasulullah SAW.
Justeru, baik dalam praktik harakah jamaah mahupun kerja siyasah, setiap ahli dan kepimpinan seharusnya meledani sirah Rasulullah SAW supaya pergerakannya akan lebih tersusun dan berkesan. Peristiwa Badar bukan sahaja nukilan kisah kemenangan buat Islam, tetapi apakah tindakan I’dad(persediaan) dan Isti’dad (kesiapsiagaan) yang mesti disempurnakan sebelum turunnya Nasr Allah ke atas Islam dan umatnya. Suruhan untuk bersedia bukannya datang dari lisan pemimpin, tetapi ia sebenarnya adalah arahan Allah.
Maksud firman Allah: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan perssediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya…”. (Surah al-Anfal: 60)
Al-faqir
DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Lajnah Tarbiyah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/3/2026











