‘Menteri KDN ‘berangan’ nak jadi MB Kedah ke?’

Susulan isu naturalisasi pemain bola sepak tak terjawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menegur beberapa kenyataan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan isu naturalisasi pemain bola sepak, yang menurutnya masih menimbulkan pelbagai persoalan.
 
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, kenyataan KDN yang mendakwa pemain memohon naturalisasi sendiri tanpa ejen bercanggah dengan pendedahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
 

- Advertisement -

Menurutnya, FIFA menyatakan semua dokumen dan proses diserahkan kepada ejen dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala dokumen yang ditandatangani oleh pemain juga dikatakan tidak difahami sepenuhnya.
 
“KDN kata pemain memohon sendiri, tapi FIFA dedah mereka serah semua kepada ejen dan FAM. Dokumen pun mereka tak faham apa yang ditandatangani,” bidaa beliau dalam media sosial miliknya.
 
Hanif turut menegaskan pertentangan lain dalam kenyataan KDN berkaitan syarat pemastautin, di mana pada awalnya, KDN menegaskan syarat itu dipatuhi, tetapi kemudian mengatakan ia boleh dikecualikan menggunakan kuasa Menteri.
 
Tambah beliau, kenyataan KDN bahawa pemain lulus ujian Bahasa Melayu juga dipertikai, namun menurut FIFA, pemain terbabit langsung tidak memahami Bahasa Melayu dan tidak faham kandungan dokumen naturalisasi.
 
Selain itu, Hanif mempersoalkan sijil lahir datuk dan nenek pemain yang dikatakan dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.
 
Beliau berkata, FIFA pula menamakan dokumen tersebut sebagai ‘unreliable’, menjadikannya isu yang lebih daripada sekadar bola sepak, tetapi melibatkan maruah negara.
 
“Paling pelik, sampai sekarang tiada tindakan tegas dari KDN. Kes berunsur penipuan dokumen, tapi diam macam tak ada apa berlaku. Menteri KDN duk berangan nak jadi MB Kedah,” sindir beliau.
 
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya kerana memalsukan dokumen naturalisasi, tetapi hukuman hanya terpakai untuk perlawanan rasmi.
 
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
 
Menurut laporan itu, pemain dibenarkan menyambung latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.
 
Panel CAS juga mengekalkan denda CHF 350,000 (anggaran RM1.8 juta) ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan menegaskan keputusan itu wajar, selepas rayuan gabungan FAM dan pemain dikemukakan pada 5 Disember 2025. – HARAKAHDAILY 6/3/2026

- Advertisement -