
RASULULLAH SAW pernah bersabda:
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.
“Hampir tiba masanya umat-umat lain mengerumuni kamu sebagaimana orang-orang mengerumuni hidangan mereka.”
Apabila para Sahabat bertanya sama ada jumlah umat Islam ketika itu sedikit, Baginda SAW menjawab bahawa umat Islam ramai, tetapi seperti buih di permukaan banjir. Allah mencabut rasa gentar musuh terhadap mereka dan mencampakkan ke dalam hati mereka al-wahn. Apabila ditanya apakah al-wahn, Baginda SAW menjawab:
حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
“Cinta dunia dan takut mati.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, no. 4297)
Hadis ini amat bertepatan dengan keadaan umat selepas 3 Mac 1924, tarikh kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. 102 tahun telah berlalu, namun perpecahan semakin melebar dan kesatuan semakin jauh daripada kenyataan.
Dunia Islam tanpa payung kesatuan
Kejatuhan Khilafah menamatkan satu payung politik yang menyatukan umat Islam di bawah kepimpinan tertinggi.
Selepas itu, dunia Islam dipecahkan kepada negara-negara bangsa melalui percaturan kuasa Barat seperti Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour, yang akhirnya membuka jalan kepada penubuhan negara haram Israel di Palestin.
Sejak itu, umat Islam kehilangan satu suara bersama dalam isu antarabangsa. Konflik dalaman berlarutan, sementara kuasa besar menjadi pembekal senjata dan penentu arah geopolitik.
Palestin terus dizalimi. Iraq dan Afghanistan hancur akibat peperangan. Sudan dan Yaman musnah angkara perang proksi. Isu Kashmir, Uighur dan Rohingya pula sering tenggelam dalam percaturan global.
Umat ini ramai, tetapi tanpa kesepaduan strategi dan kesatuan matlamat, kekuatan tidak terjelma.
Konflik semasa dan ujian mazhab
Peristiwa 28 Februari hingga 1 Mac 2026 menyaksikan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, syahid terbunuh dalam serangan udara yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Rejim Israel.
Iran mengisytiharkan tempoh berkabung dan menyifatkannya sebagai satu bentuk pengisytiharan perang. Beberapa tokoh kanan ketenteraan turut terkorban dan kepimpinan interim dilantik bagi memastikan kestabilan negara.
Namun, yang lebih membimbangkan ialah reaksi sebahagian umat Islam yang segera menilai isu ini melalui lensa mazhab, seolah-olah musuh sebenar bukan lagi penjajahan dan kezaliman, tetapi perbezaan aliran.
Sedangkan Sheikh al-Azhar, Imam Ahmad al-Tayyib pernah menegaskan:
الاختلاف بيننا وبين إخواننا الشيعة هو اختلاف فكر ورأي وليست فرقة دين، والأمة الإسلامية حاليا في أشد الحاجة إلى الوحدة في القوة والرأي لمجابهة تحديات العصر والانتصار على أعداء الأمة.
“Perbezaan antara Sunni dan Syiah adalah perbezaan pemikiran dan pandangan, bukan perbezaan agama. Umat Islam hari ini sangat memerlukan kesatuan dalam kekuatan dan pendirian untuk menghadapi cabaran zaman serta menewaskan musuh umat.”
Dalam suasana geopolitik yang kompleks, keutamaan ialah mengenal pasti kezaliman dan menentangnya, bukan memperbesarkan jurang yang sedia ada.
Jangan terjerumus ke kancah perbalahan
Sebahagian umat masih tenggelam dalam perdebatan cabang yang berulang-ulang, sedangkan cabaran geopolitik dan ekonomi global semakin mendesak.
Rasulullah SAW telah mengingatkan:
لاَ تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.
“Jangan kamu kembali semula (menyeleweng kembali kepada jahiliah) melakukan kekufuran (kufur aqidah atau kufur nikmat) selepas kewafatanku, lalu memancung leher (bunuh membunuh) sesama kamu (berperang saudara).” (Muttafaq ‘alaih)
Amaran ini jelas, jangan sampai perbezaan membawa kepada permusuhan dan pertumpahan darah sesama sendiri. Musuh tidak perlu bersusah payah memecahkan kita jika kita sendiri memilih untuk berpecah!
Moden tanpa hilang jati diri
Selepas kejatuhan Khilafah, muncul pendekatan pemodenan ala Barat yang menghakis identiti Islam. Dalam masa yang sama, ada pula yang menolak segala bentuk kemajuan atas nama mempertahankan tradisi. Kedua-duanya tidak seimbang.
Kemudian sejak awal abad ke-19, pelbagai ideologi asing diperkenalkan dan dipromosikan sebagai kemodenan, sedangkan sebahagian besarnya bercanggah dengan asas Islam.
Kesan jangka panjang serangan ideologi ini menyebabkan umat Islam masih terperangkap dalam kerangka pemikiran yang dibentuk oleh Barat, malahan kagum dan lunak dengan kuasa asing berbanding bekerjasama sesama Muslim.
Islam tidak menolak kemajuan. Islam menuntut pembangunan yang berteraskan tauhid dan akhlak. Umat Islam sepatutnya berpotensi menjadi pengeluar teknologi dan pembina sistem, bukan sekadar pengguna dan pembeli senjata.
Negara Islam menjual minyak, kuasa besar membelinya dengan senjata, dan lebih malang apabila senjata itu digunakan untuk berbunuhan sesama umat!
Tanpa kemandirian ilmu dan ekonomi, umat akan terus bergantung kepada kuasa luar dan mudah diperalatkan. Berdikari serta membina kekuatan sendiri merupakan antara gagasan yang ditekankan oleh Allahyarham Syed Abul Hasan Ali al-Nadwi demi kelangsungan umat.
Perpaduan adalah keutamaan
Dalam konteks Palestin, Iran dan konflik serantau, keutamaan umat Islam ialah survival dan penentangan terhadap kezaliman. Sokongan dan pendirian mesti diasaskan kepada hikmah serta pertimbangan maslahah, bukan sentimen sektarian.
Perpaduan tidak bererti menghapuskan perbezaan, tetapi menyusun perbezaan dalam kerangka tujuan yang sama. Ketika Gaza dibedil dan darah umat tumpah, perbalahan mazhab hanya menguntungkan musuh.
RAND Corporation, sebuah badan penyelidikan yang dibiayai Amerika Syarikat, pernah menerbitkan kajian bertajuk ‘Unfolding the Future of the Long War’.
Kajian tersebut membincangkan strategi jangka panjang, termasuk bagaimana isu sektarian boleh dimanipulasi untuk memanjangkan konflik dalam dunia Islam.
Antara faktor yang dikenal pasti dalam konsep ‘Long War’ ialah kerajaan, ideologi dan keganasan. Ketiga-tiga unsur ini, apabila digugat dan dimanipulasi, berpotensi mewujudkan konflik berpanjangan.
Ini menunjukkan bahawa perpecahan dalaman bukan sekadar kelemahan, bahkan boleh dieksploitasi sebagai strategi geopolitik. Dan nampaknya, musuh berjaya.
102 tahun: Muhasabah dan tindakan
Seratus tahun tanpa khilafah bukan sekadar nostalgia sejarah, tetapi peringatan mengenai harga sebuah perpecahan.
Kebangkitan umat tidak lahir daripada retorik semata-mata. Ia menuntut ilmu, kesedaran geopolitik, perancangan strategik dan keberanian berkorban.
Hadis mengenai al-Wahn mengingatkan bahawa cinta dunia dan takut mati melemahkan umat. Jika penyakit ini tidak dirawat dengan iman, keberanian dan kesatuan, kita akan terus menjadi buih yang hanyut.
3 Mac seharusnya menjadi hari muhasabah bersama. Bukan untuk menuding jari, tetapi untuk menyusun saf.
Umat Islam tidak lagi mampu menanggung perpecahan yang berpanjangan. Sama ada kita terus bercakaran, atau bangkit membina kesatuan demi maruah dan masa depan ummah.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 4/3/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











