Konflik Iran memuncak: Malaysia digesa bertindak segera

Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia diseru agar mengambil langkah segera memobilisasi bantuan kemanusiaan ke Iran susulan konflik bersenjata yang semakin meruncing di rantau Timur Tengah ketika ini.

Ahli Dewan Negara, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) perlu membuat persediaan awal termasuk menyelaras bantuan perubatan dan bekalan asas bagi menghadapi kemungkinan krisis kemanusiaan yang lebih besar.

- Advertisement -

Menurut beliau, sebagai pengamal perubatan yang mengikuti rapat perkembangan isu kemanusiaan sejagat, situasi di Iran bukan sekadar isu geopolitik, sebaliknya berpotensi menjadi malapetaka kemanusiaan sekiranya bantuan tidak diselaraskan dari sekarang.

“Peperangan tidak pernah memilih mangsa. Di sebalik angka statistik, terdapat wanita, kanak-kanak dan warga emas yang terancam serta memerlukan bantuan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggariskan beberapa langkah kritikal yang perlu dipertimbangkan, antaranya penyelarasan pasukan perubatan sukarela yang pakar dalam pengurusan trauma dan kecemasan memandangkan fasiliti kesihatan lazimnya menjadi sasaran atau lumpuh dalam zon peperangan.

Selain itu, katanya, stok simpanan ubat-ubatan asas, antibiotik serta kit pembedahan perlu dikumpulkan segera melalui kerjasama rapat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi bantuan antarabangsa.

Beliau turut menggesa Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) menggunakan saluran diplomatik bagi memastikan koridor kemanusiaan yang selamat dapat diwujudkan supaya bantuan makanan dan perubatan sampai kepada orang awam tanpa sekatan.

Menurutnya, Malaysia mempunyai reputasi yang baik dalam misi bantuan antarabangsa dan tidak seharusnya berdiam diri ketika krisis kemanusiaan semakin menghampiri titik kritikal.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu padu dalam doa serta menyalurkan bantuan melalui saluran rasmi yang sah bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara tersusun dan berkesan. – HARAKAHDAILY – 4/3/2026

- Advertisement -