Menjamu orang puasa berbuka

Foto hiasan.
- Advertisement -

Disunatkan bagi orang yang berpuasa menjamu orang lain yang berpuasa sama ada puasa fardu atau puasa sunat yakni membelanjakan hartanya supaya dijadikan sebagai makanan atau minuman kepada orang yang berpuasa itu berbuka dengannya sama ada diberikan yang berpuasa itu akan makanan atau diberikannya wang supaya dia membeli makanan buat berbuka atau menjemput orang berpuasa datang berbuka di rumahnya atau masjid atau seumpamanya.

- Advertisement -

Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid r.a. berkata: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا أَوْ جَهَّزَ غَازِيًا فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ

Ertinya: “Barangsiapa menjamu orang yang berpuasa berbuka atau menyediakan bekalan orang pergi berperang maka dapat baginya seumpama pahalanya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Dan pada riwayat Imam At-Tirmizi adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مَنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ

Ertinya: “Barangsiapa menjamu orang berpuasa berbuka nescaya adalah baginya pahalanya di mana tidak kurang sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu.”

Dan pada riwayat Ibnu Khuzaimah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:

مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا أَوْ جَهَّزَ حَاجًّا أَوْ خَلَفَهُ فِي أَهْلِهِ أَوْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أُجُورِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Ertinya: “Siapa yang menyiapkan bekalan bagi orang berperang atau orang haji atau meninggalkan bekalan pada keluarganya atau menjamu orang yang berpuasa ketika berbuka nescaya adalah baginya seumpama pahala mereka itu tanpa kurang sedikit pun dari pahala mereka.”

Berkata Syeikh Ali Mulla Al-Qari:

قَالَ ابْنُ الْمَلَكِ: التَّفْطِيرُ جَعْلُ أَحَدٍ مُفْطِرًا أَيْ مَنْ أَطْعَمَ صَائِمًا أَيْ عِنْدَ إِفْطَارِهِ

Ertinya: “Telah berkata Ibnu Al-Malak: Maksud tafthir ialah memberi makan oleh seorang akan orang yang berpuasa ketika dia berbuka.” (Kitab Mirqah Al-Mafatih)

Dan berkata Syeikh Ar-Rahmani Al-Mubarakfuri:

(فله مثل أجره) أي أجر كل واحد منهما

Ertinya: “(Bagi yang beri makan itu seumpama pahala yang berpuasa) yakni ganjaran pahala setiap seorang dari keduanya.” (Kitab Mir’ah Al-Mafatih)

Berkata Imam Ibnu Batthal:

قال الطبرى: وفيه من الفقه أن كل من أعان مؤمنًا على عمل بر فللمعين عليه أجر مثل العامل

Ertinya: “Telah berkata At-Tabari: Pada hadis ini dapat difahami bahawa setiap orang yang menolong akan orang mukmin atas amal kebajikan maka bagi yang menolong itu dapat ganjaran pahala yang sama dengan pahala yang beramal itu.” (Kitab Syarah Sahih Al-Bukhari)

Lebihkan bersedekah kepada kaum keluarga dan orang miskin

Dan disunatkan menggandakan pemberian kepada anak isteri serta kaum keluarga dan banyak bersedekah kepada faqir miskin di bulan Ramadhan samada bagi orang yang berpuasa atau tidak.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya: “Adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam orang yang pemurah dan adalah baginda paling pemurah ketika bulan Ramadan ketika bertemu akan malaikat Jibril a.s. dan adalah baginda bertemu akan Jibril itu pada setiap malam di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dan pada riwayat Imam Muslim :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Ertinya: “Adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam lebih pemurah dengan berbuat kebajikan daripada angin yang berhembus.”

Kerana itu dikatakan bulan Ramadan adalah bulan menggandakan amalan termasuk amalan sedekah ini.

Dan bermula maksud seperti angin berhembus itu ialah cepat dan segeranya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam melakukan sedekah.

Berkata Syeikh Ar-Rahmani Al-Mubarakfuri:

أي كان رسول الله صلى الله عليه وسلم في حد ذاته بقطع النظر عن أوقاته الكريمة وأحواله الكريمة أشد الناس جوداً بكل خير من خيري الدنيا والآخرة لله وفي الله من بذل العلم، والمال وبذل نفسه لإظهار الدين، وهداية العباد وإيصال النفع غليهم بكل طريق وقضاء حوائجهم وتحمل أثقالهم

Ertinya: “Maksudnya ialah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam adalah pada sekalian waktu dan sekalian keadaannya yang mulia adalah orang yang sangat dermawan dengan sekalian kebaikan dunia dan akhirat kerana Allah sentiasa memberikan ilmu pengetahuan dan membelanjakan harta bagi memenangkan agama dan sentiasa menunjuk kepada manusia kepada jalan yang benar dan menyampaikan manfaat atas manusia dengan pelbagai cara dan menunaikan segala hajat mereka dan menanggung kesusahan mereka.” (Kitab Mira’h Al-Mafatih)

Berkata Imam Al-Mawardi:

وَيُسْتَحَبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُوَسِّعَ عَلَى عِيَالِهِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ وَأَنْ يُحْسِنَ إلَى أرحامه وجيرانه لاسيما فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْهُ

Ertinya: “Dan disunatkan bagi seorang itu meluaskan pemberian atas anak isterinya pada bulan Ramadan dan berbuat baik kepada sanak saudaranya dan jirannya istimewa pula pada sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadan.” (Kitab Al-Majmu’)

Yang dimaksudkan meluaskan pemberian pada hadis ini ialah melebihkan pemberian daripada bulan-bulan yang lain.

Dan hendaklah kita ketahui bahawa apa yang kita sedekah itu sebenarnya kita simpan sebagai saham di sisi Allah Taala.

Firman Allah Taala:

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

Ertinya: “Barang yang ada di sisi kamu itu akan hilang dan barang yang ada di sisi Allah itulah sahaja yang kekal.” (An-Nahlu : 96)

Berkata Imam Ar-Rafie:

(ومنها) الجود والافضال فهو مندوب إليه في جميع الاوقات وفى شهر رمضان آكد استحبابا اقتداء برسول الله صلي الله عليه وسلم فانه كان ” اجود الناس بالخير وكان أجود ما يكون في رمضان ” والمعني في تخصيص رمضان بزيادة الجود واكثار الصدقات تفريغ الصائمين والقائمين للعبادة بدفع حاجاتهم

Ertinya: “Dan setengah dari yang disunatkan itu ialah bersikap dermawan. Yang afdal ialah disunatkan bersikap dermawan itu pada setiap waktu dan pada bulan Ramadan pula lebih kuat disunatkan kerana mengikut akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam maka sungguhnya baginda adalah manusia paling dermawan dengan berbuat kebaikan dan baginda lebih dermawan pada bulan Ramadan. Dan makna hadis itu ialah mengkhususkan Ramadan dengan melipat gandakan sikap dermawan dan perbanyakkan sedekah dan menyelesaikan hajat orang yang berpuasa dan yang hendak mendirikan ibadah. “(Kitab Fathu Al-‘Aziz Syarah Al-Kabir)

Dan termasuk berbuat baik dengan anak isteri dan kaum keluarga serta orang lainnya ialah berbuat baik dengan perkataan dan perbuatan.

Tersebut pada sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللهِ نُودِيَ فِي الْجَنَّةِ: يَا عَبْدَ اللهِ، هَذَا خَيْرٌ، فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ

Ertinya: “Barangsiapa membelanjakan dua ekor kuda atau seekor pada jalan Allah nescaya akan diseru di dalam syurga: Wahai hamba Allah. Ini adalah satu kebaikan. Maka siapa yang adalah dia dari ahli solat akan dipanggil dari pintu solat dan siapa yang adalah dia itu ahli jihad akan dipanggil dari pintu jihad dan siapa yang ahli sedekah akan dipanggil dari pintu sedekah dan siapa yang ahli puasa akan dipanggil dari pintu Rayyan.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Syeikh Said Ad-Du’ani As-Sayfie:

(ويستحب في رمضان التوسعة على العيال والإحسان) بالقول والفعل والمال (إلى الأرحام والجيران، وإكثار الصدقة) ولو بجميع ماله إن كان يصبر على الإضاقة

Ertinya: “Dan disunatkan pada bulan Ramadan meluaskan pemberian atas anak isteri dan berbuat baik dengan perkataan dan perbuatan dan harta kepada kaum keluarga dan jiran dan juga membanyakkan sedekah sekalipun semua hartanya jika dia sabar dengan kesempitan.” (Kitab Busyral Karim)

Dan diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau telah berkata:

قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Ertinya: “Telah bertanya oleh seorang: Wahai Rasulullah sedekah yang manakah paling afdal? Sabdanya: Sedekah pada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

لِأَنَّ الْحَسَنَاتِ مُضَاعَفَةٌ فِيهِ

Ertinya : “Kerana sungguhnya segala amal kebajikan digandakan pahalanya pada bulan Ramadan.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan termasuk sedekah kepada anak isteri dan kaum keluarga dan jiran tetangga ialah menyantuni mereka dengan sebaik-baik kelakuan.

Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami berkata:

(أَنْ يُكْثِرَ الصَّدَقَةَ) أَيْ: وَالْجُودَ وَزِيَادَةَ التَّوَسُّعَةِ عَلَى الْعِيَالِ وَالْإِحْسَانَ إلَى ذَوِي الْأَرْحَامِ

Ertinya: “(Disunatkan banyakkan bersedekah) ertinya banyak memberi dan menambah keluasan atas keluarga dan berbuat baik kepada kaum kerabat.” (Kitab Tuhfatul Muhtaj)

Berkata Syeikh Abdullah Bafadhal Al-Hadhrami As-Syafie:

التوسعة على العيال، والإحسان إلى الإرحام والجيران، وإكثار الصدقة

Ertinya: “Meluaskan atas keluarga dan berbuat baik kepada kaum kerabat dan jiran dan memperbanyakkan bersedekah.” (Kitab Al-Muqaddimah Al-Hadhramiyah)

Banyak membaca al-Quran

Disunatkan ke atas orang yang berpuasa memperbanyakkan membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadan pada siang dan pada malam melebihi dari bulan-bulan yang lain.

Ini adalah kerana memuliakan Al-Quran itu sendiri yang diturunkan pada bulan Ramadan dan mengikut akan perbuatan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.

Firman Allah Taala:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

Ertinya: “Bulan Ramadan ialah bulan yang telah diturunkan padanya akan Al-Quran.” (Al-Baqarah: 185)

Kerana itu diriwayatkan para salafussolih dari zaman sahabat dan yang kemudian dari mereka itu menumpukan kepada Al-Quran dan sangat banyak membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadan sehingga berkali-kali dan berulang-ulang khatamnya.

Amalan membaca Al-Quran dan bertadarrus di bulan Ramadhan ini adalah kerana mengikuti amalan Nabi sollallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis di mana baginda telah didatangi oleh malaikat Jibril a.s. dan mengajar akan Nabi sollallahu alaihi wasallam akan Al-Quran dan baginda membacanya sehingga khatam dan pada setengah riwayat pada penghujungnya baginda khatam sebanyak dua kali.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan dengan katanya:

وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ فيُدارِسُهُ القُرْآنَ

Ertinya: “Adalah Jibril a.s. datang menemui Nabi sollallahu alaihi wasallam pada setiap malam daripada Ramadan maka bertadarrus olehnya akan Nabi sollallahu alaihi wasallam akan Al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dan pada satu lagi riwayat Ibnu Abbas r.a.:

أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُهُ الْقُرْآنَ

Ertinya: “Sungguhnya Jibril a.s. adalah ia bacakan akan Nabi sollalllahu alaihi wasallam akan Al-Quran.”

Dan adalah membaca Al-Quran itu lebih afdal daripada berzikir kerana itu dianjurkan banyak membacanya pada bulan Ramadan.

Berkata Syeikh Ibnu ‘Allan:

واستحباب الإِكثار من القراءة في رمضان، وكونها أفضل من سائر الأذكار إذ لو كان الذكر أفضل أو مساوياً لها لفعلاه

Ertinya: “Dan disukai memperbanyakkan membaca Quran pada bulan Ramadan dan adalah membaca Quran itu lebih afdal dari sekalian zikir kerana jikalau adalah zikir itu lebih afdal atau menyamai bagi membacanya nescaya akan diperbuatnya.” (Kitab Dalil Al-Falihin)

Diriwayatkan bahawa Imam Malik r.a. apabila telah masuk bulan Ramadan maka menyimpan ia akan sekalian kitab-kitab ilmu dan kitab-kitab hadis dan fiqh dan lainnya dan tiada ia tumpukan melainkan dengan membaca Quran.

Dan diriwayatkan adalah Imam Az-Zuhri apabila tiba bulan Ramadan berkata beliau: Dua perkara sahaja yang penting sekarang iaitu baca Quran dan menjamu orang-orang makan dan tiada sibuk ia dengan selain keduanya.

Dan diriwayatkan adalah Aisyah r.a. mendulukan akan Zakwan r.a. supaya sembahyang dan membaca akan Al-Quran bersama mereka sebagai imam.

Dan telah menceritakan oleh Imam Az-Zahabi adalah Imam As-Syafie khatam akan Quran pada bulan Ramadan 60 kali khatam. Dan sebahagian manusia yang tertanya-tanya: Bagiamana ia berlaku? Kami berkata: Benar. Tiada ada mereka itu menyibukkan diri dengan suatu selain Al-Quran. Dan tiada mereka pergi berjual beli dan tiada mereka berhibur dan bermain-main dan mereka sangat menjaga lidah mereka dari berkata yang haram dan mereka tidak duduk pada majlis yang sia-sia dan hanya satu kepentingan yang mereka tumpukan iaitu Al-Quran.

Dan setengah dari kalangan salafussolih itu menghabiskan masanya dengan khatam bacaan Al-Quran sekali kemudian sekali. Setiap kali khatam membacanya akan dimula dengan bacaan yang baru.

Diriwayatkan adalah Qatadah khatam ia membaca Quran setiap tujuh hari dan apabila masuk bulan Ramadan maka khatam ia setiap tiga hari sekali dan apabila masuk sepuluh hari yang akhir maka khatam ia sehari sekali.

Menyebut oleh Imam Nawawi:

فمن الذين كانوا يختمون ختمة في الليل واليوم عثمان بن عفان رضي الله عنه وتميم الداري وسعيد بن جبير ومجاهد والشافعي وآخرون ومن الذين كانوا يختمون ثلاث ختمات سليم بن عمر رضي الله عنه قاضي مصر في خلافة معاوية رضي الله عنه

Ertinya: “Maka setengah dari orang-orang yang adalah mereka itu mengkhatamkan Quran sekali khatam pada sehari semalam ialah Uthman bin ‘Affan r.a. dan Tamim Ad-Dari r.a. dan Sa’id bin Jubair dan Mujahid dan Imam Syafie dan lainnya. Dan setengah dari mereka yang mengkhatamkannya sebanyak tiga kali khatam ialah Sulaim bin Umar iaitu qadhi negeri Mesir pada zaman pemerintahan khalifah Muawiyah r.a.” (Kitab At-Tibyan)

Diriwayatkan daripada Ibnu Sirrin:

أَنَّ تَمِيمًا الدَّارِيَّ، قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي رَكْعَةٍ

Ertinya: “Bahawasanya Tamim Ad-Dari r.a. telah membaca akan sekalian Quran dalam satu rakaat.”

Diriwayatkan daripada Said bin Jubair r.a. beliau berkata:

قَرَأْتُ الْقُرْآنَ فِي رَكْعَةٍ فِي الْبَيْتِ

Ertinya: “Aku telah membaca akan sekalian Al-Quran dalam satu rakaat di dalam rumah.” (Kitab Fadhoil Al-Quran)

Dan setengah dari orang-orang yang khatam akan Al-Quran tiga kali khatam sehari ialah Sulaim bin Umar r.a. qahi negeri Mesir pada zaman pemerintahan Mu’awiyah r.a.” (Kitab At-Tibyan)

Diriwayatkan daripada Bakr bin Mudhar:

أَنَّ سُلَيْمَ بْنَ عِتْرٍ التُّجِيبِيَّ كَانَ يَخْتِمُ الْقُرْآنَ فِي اللَّيْلَةِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Ertinya: “Bahawasanya Sulaim bin ‘Itri At-Tujibi adalah beliau khatam akan Al-Quran pada satu malam tiga kali.”

Maka sangatlah elok jika diadakan majlis tadarrus Al-Quran sama ada di masjid atau di rumah kediaman atau lainnya dan sekurang-kurang mencapai fadhilatnya adalah dia baca seorang diri akan Al-Quran.

Adapun mereka yang tiada kelapangan baginya untuk membanyakkan bacaan Al-Qruan maka jangan sekali-kali ditinggalkan langsung tidak membacanya bahkan bacalah sekadar mana yang berkelapangan walaupun sedikit.

Firman Allah Taala:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ

Ertinya: “Bacalah kamu sekalian akan barang yang mudah daripada Al-Quran itu.” (Al-Muzammil: 20)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 4/3/2026

- Advertisement -