Perkembangan mutakhir perang Iran-Israel-AS

- Advertisement -

AWAL pagi tadi Kerajaan Republik Islam Iran secara rasminya mengumumkan bahawa as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei telah terkorban dalam serangan udara tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel di pejabatnya pada pagi semalam. Turut terkorban bersama beliau adalah Laksamana Ali Shamkani, Setiausaha Majlis Tertinggi Pertahanan Iran dan Mejar Jeneral Mohammad Pakpour, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran.

China dan Rusia mengecam keras pembunuhan Pemimpin Agung Iran as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei dan menggesa agar serangan ke atas Iran dihentikan serta-merta.

- Advertisement -

Presiden Iran Masoud Pezeshkian dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari berikutan terkorbannya as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei dan menyatakan bahawa pembunuhan Pemimpin Agung Iran tersebut adalah deklarasi perang terhadap seluruh umat Islam.

Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Nasional Iran Ali Larijani menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan negara haram Israel telah ‘membakar hati rakyat dan negara Iran’ dengan membunuh Pemimpin Agung Iran as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei dan berjanji bahawa Iran akan ‘membakar hati mereka’ sebagai balasan. Beliau turut menyatakan bahawa Iran akan menyerang negara haram Israel dan Amerika Syarikat dengan kekuatan yang mereka tidak pernah alami sebelum ini.

Ayatollah Alireza Arafi telah dipilih untuk memangku jawatan Pemimpin Agung Iran dan akan mengendalikan urusan pentadbiran Kerajaan Republik Islam Iran bersama Presiden Iran, Ketua Hakim Republik Islam Iran dan Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional Iran.

Media Kerajaan Republik Islam Iran sebentar tadi turut mengumumkan bahawa bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad turut terkorban di kediamannya dalam serangan udara tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel ke atas Iran semalam.

Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Nasional Iran Ali Larijani dalam kenyataannya di laman media sosial X menyatakan kepada negara-negara Asia Barat bahawa Republik Islam Iran tidak berniat  untuk menyerang negara mereka, namun memandangkan pangkalan tentera di negara Asia Barat digunakan untuk menyerang Republik Islam Iran, dan apabila Amerika Syarikat menjalankan operasi ketenteraan di rantau tersebut bergantung kepada tenteranya di pangkalan tentera tersebut, Republik Islam Iran akan menyasarkan pangkalan tentera tersebut. Pangkalan tentera tersebut bukan sebahagian dari wilayah di negara Asia Barat, tetapi adalah wilayah Amerika Syarikat.

Berikutan ancaman pemimpin Iran untuk bertindak balas dengan lebih keras selepas terkorbannya Pemimpin Agung Iran as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran keras agar Iran tidak bertindak balas, jika bertindakbalas Amerika Syarikat akan menyerang Iran dengan kekuatan yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini.

Jutaan rakyat Republik Islam Iran keluar ke jalanan di seluruh Iran bagi mengecam tindakan keganasan dan serangan udara yang dilancarkan Amerika Syarikat dan negara haram Israel hingga mengakibatkan terkorbannya Pemimpin Agung Iran as-Syahid Ayatollah Ali Khamanei dan menuntut Kerajaan Republik Islam Iran agar bertindak balas dengan lebih keras ke atas negara haram Israel dan Amerika Syarikat.

Di sebalik jutaan rakyat Republik Islam Iran berada di jalanan di seluruh Iran khususnya di Tehran sejak awal pagi tadi, tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran khususnya di Tehran dengan menyasarkan institusi strategik dan aset ketenteraan penting tentera Iran dan IRGC hingga mengakibatkan gegaran dan letupan kuat di Tehran.

Tentera udara Amerika Syarikat turut melancarkan serangan udara di Kermanshah, Tabriz dan beberapa wilayah lagi di Iran selain turut mengebom ibu pejabat Bulan Sabit Merah Iran di Tehran.

Tentera Iran dan IRGC menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan ke atas kapal pengangkut pesawat tentera laut Amerika Syarikat USS Abraham Lincoln dengan menggunakan 4 buah peluru berpandu balistik di Perairan Teluk.

Tentera Iran dan IRGC terus melancarkan serangan udara ke atas pangkalan tentera dan aset strategik Amerika Syarikat di seluruh Asia Barat khususnya di Bahrain, UAE, Kuwait, Qatar dan di Wilayah Kurdistan di Iraq hingga mengakibatkan kemusnahan teruk termasuk melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera laut Perancis yang terletak di Abu Dhabi.

Tentera Iran dan IRGC terus melancarkan serangan dron dan peluru berpandu balistik ke atas negara haram Israel khususnya di Tel Aviv dan Haifa hingga dilaporkan mengakibatkan kemusnahan besar dan kematian. Dalam serangan peluru berpandu balistik terbaharu Iran ke atas Beit Shemesh berhampiran Jerusalem yang meranapkan beberapa buah bangunan, dilaporkan seramai lapan orang pendatang yahudi mati dan puluhan orang lagi dilaporkan cedera dan dijangka angka tersebut akan terus meningkat.

Pentagon mengumumkan bahawa sehingga hari ini sebanyak tiga orang anggota tentera Amerika Syarikat telah mati manakala lima orang lagi mengalami kecederaan parah dalam operasi kenteraan Amerika Syarikat ke atas Iran.

Menurut media negara haram Israel Yedioth Ahronoth, semalam Amerika Syarikat telah menghubungi Iran melalui Itali mencadangkan agar dilaksanakan gencatan senjata namun Iran terus menolak cadangan tersebut.

Menteri Luar Negara-negara Teluk (GCC) dijangka akan mengadakan mesyuarat tergempar pada bila-bila masa berikutan situasi genting yang sedang berlaku ketika ini.

Lebih daripada 150 buah kapal tangki minyak dan LNG terkandas di kawasan laut lepas di Perairan Teluk akibat dari sekatan yang dikenakan oleh Tentera Laut Iran di Selat Hormuz.

Keadaan menjadi tegang di luar bangunan Kedutaan dan Konsulat Amerika Syarikat di seluruh Pakistan apabila rakyat Pakistan menyerang, menyerbu masuk dan membakar bangunan berkenaan sebelum berjaya dihalang polis Pakistan.

Peperangan dijangka akan terus sengit berikutan Iran mahupun Amerika Syarikat dan negara haram Israel dijangka akan memperhebatkan serangan pada bila-bila masa.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 1/3/2026

- Advertisement -