‘Iran tidak akan berundur selagi pencerobohan diteruskan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Iran tidak akan menambahkan lagi ketegangan sedia ada, tetapi tidak akan berundur daripada tindakan kekerasan yang menyalahi undang-undang, demikian kenyataan Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia.

- Advertisement -

Kenyataan tersebut menegaskan, selagi pencerobohan berterusan, Iran akan mempertahankan wilayah, negara dan kedaulatannya menggunakan semua cara yang sah.

Kedutaan tersebut mengecam pencerobohan ketenteraan meluas oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu yang dilakukan ketika Iran dan AS sedang dalam rundingan diplomatik berkaitan isu nuklear.

Kenyataan itu menegaskan, tindakan ketenteraan tersebut dilaksanakan ‘tanpa sebarang justifikasi undang-undang atau politik’ dan merupakan pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara serta integriti wilayah Iran.

“Tindakan berkenaan bercanggah dengan prinsip asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip yang termaktub dalam Konvensyen Geneva berkaitan perlindungan orang awam dalam konflik bersenjata.

“Sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah perempuan di selatan Iran telah menjadi sasaran, mengakibatkan kira-kira 150 kanak-kanak terbunuh, sekitar 100 lagi cedera, manakala puluhan mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan,” tegas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, selain sekolah tersebut, serangan tersebut juga telah menjejaskan infrastruktur awam lain termasuk kemudahan perubatan dan pendidikan.

“Tindakan menyasarkan pusat yang bersifat awam dan boleh dikenal pasti sebagai bukan ketenteraan disifatkan dalam kenyataan itu sebagai ‘contoh jelas jenayah perang’ dan satu penghinaan besar terhadap hati nurani manusia,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa dakwaan pihak berkuasa AS dan Israel bahawa mereka hanya menyasarkan kemudahan ketenteraan bercanggah dengan realiti di lapangan, yang menurut Iran menunjukkan serangan langsung terhadap penduduk awam, khususnya kanak-kanak.

Menurut kedutaan itu lagi, walaupun menyedari niat AS dan Israel untuk melancarkan serangan, Iran tetap meneruskan rundingan diplomatik bagi ‘menghabiskan hujah’ dengan sistem antarabangsa dan negara-negara yang menasihati dialog, dengan tujuan menghapuskan sebarang alasan untuk pencerobohan.

“Iran menyatakan bahawa ia telah menunjukkan sikap bertanggungjawab dan telus di meja rundingan serta berusaha mencapai penyelesaian diplomatik yang komprehensif demi keamanan dan kestabilan serantau serta antarabangsa,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa rakyat Iran telah melakukan segala yang diperlukan untuk mencegah peperangan dilakukan penceroboh ketika umat Islam melaksanakan ibadah Ramadan pada hari kesepuluh, 28 Februari semalam.

Namun begitu, kedutaan Iran di Malaysia menegaskan bahawa kini adalah masanya untuk mempertahankan negara dan menghadapi apa yang disifatkan sebagai pencerobohan oleh musuh Iran dan Islam.

“Iran menyatakan ia tidak mempunyai niat untuk menyasarkan orang awam atau menyerang negara-negara di rantau ini, dan bahawa semua operasi pertahanan yang dijalankan adalah dengan mematuhi prinsip perbezaan dan perkadaran dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 1/3/2026

- Advertisement -