
AHLI-ahli Parlimen Pembangkang telah meneliti Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) [D.R.4/2026 dan D.R.5/2026] berkaitan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta pengenalan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Pembangkang pada 26 Februari 2026 berpandangan bahawa Kerajaan hendaklah meminda beberapa peruntukan dalam kedua-dua RUU tersebut sebelum dibentangkan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat.
Pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara
Bagi RUU Perlembagaan berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Pembangkang berpendirian bahawa RUU ini mestilah menjadikan kedua-dua institusi ini benar-benar bebas daripada sebarang campur tangan dalam melaksanakan bidang kuasanya, dan tertakluk kepada mekanisme akauntabiliti yang jelas dan telus.
Sehubungan itu, kerajaan hendaklah memperkenalkan mekanisme yang bebas dan berwibawa dalam urusan pelantikan dan pemberhentian Pendakwa Raya, sama ada melalui penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, atau melalui suatu kaedah lain yang setara dari segi kebebasan, ketelusan dan keabsahannya.
Jawatankuasa Khas Parlimen tersebut hendaklah mempunyai kedudukan dan autoriti setaraf dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (Public Accounts Committee), termasuk bidang kuasa untuk memanggil dan menghadapkan Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam prosiding tertentu yang menyentuh isu dasar pendakwaan serta pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa menjejaskan prosiding kes perundangan yang sedang berjalan.
Selain itu, Pembangkang menggesa agar pindaan Perlembagaan ini turut mempertimbangkan peruntukan yang membolehkan semakan kehakiman (judicial review) terhadap keputusan berkaitan kuasa pendakwaan oleh Pendakwa Raya serta pelaksanaan fungsi Peguam Negara, selaras dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.
Pengenalan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri
Bagi pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri pula, Kerajaan hendaklah memastikan hak-hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung.
Pembangkang menegaskan bahawa sebarang pindaan mestilah tidak membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri di bawah Perkara 40(2)(a), dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
RUU yang membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri hanya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang tertentu hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-raja selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.
Selain itu, bagi memastikan pemusatan kuasa Perdana Menteri dapat diimbangi sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, Pembangkang kekal berpendirian bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan dalam satu masa yang sama.
Secara dasarnya, Pembangkang berpendirian bahawa langkah-langkah pembetulan institusi bagi memperkukuh amalan semak dan imbang tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik.
Pembangkang mendesak Kerajaan menambah baik perkara-perkara dalam RUU yang dicadangkan berasaskan prinsip pemisahan kuasa yang tulen, kebebasan institusi kehakiman dan pendakwaan, serta memelihara budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Ketua Pembangkang
28 Februari 2026, Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 28/2/2026











