Ambil tindakan tegas terhadap pihak persenda agama

Adili dengan prinsip keadilan

- Advertisement -

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam atau usaha menyemai kebencian terhadap agama itu tidak boleh dipandang ringan dan mesti dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang negara.

- Advertisement -

Baginda menegaskan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak.

“Sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan.

“Pihak berkuasa wajib bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah, namun setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah,” titah baginda dalam kenyataan.

Titah baginda, penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas.

“Ambillah tindakan yang tegas tetapi biarlah adil dan diberikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,” titah baginda.

Dalam pada itu mengulas kejadian baru-baru ini, baginda bertitah bahawa ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman di negeri ini.

Pada masa sama baginda mengingatkan bahawa keharmonian dan keamanan yang dinikmati adalah tanggungjawab bersama.

Sebarang isu berkaitan agama tegas baginda, hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.

Baginda juga menegaskan bahawa golongan yang paling perlu memainkan peranan dalam perkara itu ialah kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat.

“Mereka perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi prinsip keadilan,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menghormati sensitiviti agama serta bersama-sama memelihara keharmonian yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara. – HARAKAHDAILY 1/3/2026

- Advertisement -