Mata wang ‘Belanja Kedah Darul Aman’

Petanda Islam sampai 300 tahun lebih awal di Kedah

- Advertisement -

SEAWAL dinasti Han direkodkan bunga cengkih, barang dagangan berharga politi Laut Selatan digunakan secara meluas oleh Maharaja China untuk mengelak daripada nafas berbau busuk. Malah dikatakan Maharaja tersebut juga menggalakan bangsawan-bangsawan pemerintahan baginda untuk menggunakan rempah ratus Nusantara itu sebagai petua bagi mengekalkan kesegaran nafas khasnya ketika mereka mahu berbicara dengan baginda. Tentunya barangan mewah seperti itu tidak terjangkau untuk ianya digunakan seluruh rakyat jelata. Mungkin hartawan dan golongan peniaga mampu mengunyah cengkih sebagai petua menyegarkan nafas.

Tiga ribu lima ratus tahun lampau pula, di sebelah Barat Nusantara yang kini dikenali sebagai sub-benua India, nenek moyang kumpulan yang sama telah memperkenalkan tanaman sirih dan pinang seperti juga lain-lain tanaman endemik se-Asia Tenggara (seperti pokok kelapa, pokok kayu cendana, pokok pisang, pokok tebu dan banyak lagi) yang dibawa ke dunia sebelah Barat, nun sejauh benua Afrika. Budaya ‘makan sirih’ juga dikatakan menjadi amalan para bangsawan di sub-benua India bagi mengelakkan nafas berbau. Malah maharaja Asoka the Great sendiri direkodkan mengamalkan budaya tersebut. Tidak pasti sama ada ianya dipelajari daripada ibunya yang dikatakan berketurunan bangsawan Champa.

- Advertisement -

Di bahagian Utara benua India pula, sekitar 500 tahun sebelum Masihi budaya sirih pinang menjadi sebahagian daripada amalan perubatan Ayurveda. Jauh sebelum pengenalan ubat kumur atau amalan gosok gigi dengan ubat gigi, budaya ‘makan sirih’ lah yang menjadi sebahagian daripada penjagaan dan amalan kebersihan mulut. Ianya direkodkan kitab-kitab Indik lama seperti Carakasamhita dan Susrutasamhita. Amalan ini dikatakan baik dalam mengawal air liur, baik untuk jantung dan mampu  menyembuhkan sakit tekak. Ianya juga dikatakan amat baik diambil sejurus selepas bangun tidur, makan, mandi dan selepas mengalami muntah.

Rutin penjagaan oral ini seterusnya direkodkan merebak ke Asia Tengah dan Parsi. Menurut P.C. Gupta & S. Warnakulasuriya di permulaan abad ke-20 seramai 600 juta jiwa di seluruh dunia mengamalkan amalan makan sirih. Hakikat ini membuktikan bahawa nenek moyang orang-orang Asia Tenggara sememangnya telah berkelana ke belahan dunia sebelah Barat jauh lebih awal daripada yang sering diperakui. Ini sememangnya selari dengan dapatan penghijarahan nenek moyang orang Melayu, sejumlah akademia antarabangsa seperti Oppenheimer, Hornell, Mahdi, Sidwell, Kim dan ramai lagi. Malah ianya seolah memangku ‘conjecture’ yang pernah dibuat oleh Prof Dr Solehah Yaacob, bahawasanya ilmu perkapalan dunia Barat dipengaruhi satu-satunya jaguh politi maritim laut lepas purba dunia.

Mungkinkah bukti fizikal atau arkeologikal yang ‘ditunggu-tunggu’ masih tersimpan rapi jauh di dasar tasik di Sungai Batu, Kedah? Mungkin juga beberapa bangkai kapal purba yang dianggarkan berukuran 40-50 kaki panjang itu bakal menjadi bukti nyata yang mampu menukar naratif sejarah bangsa kita dan juga dunia? Elok juga bagi sesetengah pihak yang kekal sangsi dengan kehebatan politi warga sebelah sini sebagai jaguh maritim dunia purba boleh menjadi lebih konstruktif dengan menyumbang dana atau ide untuk merealisasikan ekskavasi kapal purba di Sungai Batu, Kedah seperti yang sedang rancak dilakukan di Melaka kini.

Bercakap mengenai Melaka, Prof Dr Solehah  Yaacob dan artifak purba, penulis bertuah kerana baru-baru ini berkesempatan mengikuti langsung perkongsian pensyarah Universiti Islam Antarabangsa tersebut bersama dengan seorang kolektor artifak mata wang bersejarah Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan Nusantara. Antara mata wang purba yang dipamerkan menurut ahli nunismatik itu sendiri adalah mata wang Alam Melayu sebelum zaman Empayar Melayu Sriwijaya, mata wang ‘Satu Massa’ era Sriwijaya, mata wang ‘Belanja Kedah Darul Aman’ sekitar 118 Hijrah dan mata wang Sultan Muzaffar Syah tahun 1446, sekadar menyebut beberapa koleksi sahaja. Sesungguhnya perkongsian tersebut berjaya membuktikan bahawa Alam Melayu mempunyai budaya sistem pitih atau kupang yang rencam dengan pelbagai jenis  dan rekabentuk. Ada juga mata wang berbentuk kenderaan laut seperti sampan dan perahu. Ada yang diperbuat daripada emas, perak dan juga timah.

Menurut Prof Dr Solehah Yaacob sistem mata wang sesuatu daulah adalah bukti kukuh bahawa cara hidup dan sistem berkerajaan khas itu sudah wujud, merujuk kepada duit ‘Belanja Kedah Darul Aman’ yang bertarikh 300 tahun lebih awal daripada faham umum kedatangan Islam di Kedah. Tambah beliau lagi, mata wang merupakan artifak yang kuat kerana ianya bukti bahawa sudah ada penguasa sesuatu politi, satu kerajaan berdaulat dan bukannya boleh dibuat oleh para pedagang dengan sewenang-wenangnya. Beliau memperhalusi tulisan kufi yang terdapat pada mata wang timah ‘Belanja Kedah Darul Aman’ yang bertarikh 118 Hijrah bersamaan dengan 736 Masihi sezaman Empayar Bani Umayyah. Duit di ukir dengan tulisan arab kuno tanpa titik dan tidak bersambung, ‘Belanja Nagari Kedah’, ‘Sanah 118’ dan ‘Darul Aman’.

Tambah Prof Dr Solehah Yaacob ianya jauh berbeza dengan tulisan Batu Bersurat Terengganu yang jauh lebih ‘sophisticated’ yang juga menggambarkan perkembangan intelektual politi tempatan ketika itu lebih kurang 600 tahun setelah politi Islam di Kedah direkodkan mata wang ‘Belanja Kedah Darul Aman’.

Sesungguhnya perkongsian tersebut amatlah mengujakan bagi yang mencintai sejarah ketamadunan tempatan. Tentunya apa saja penemuan baharu bakal dikaji dan diperhalusi dengan lebih mendalam. Penulis difahamkan banyak lagi yang bakal dikongsikan pada majlis ‘Sejarah dan Tamadun Melayu 3.0’ kelak yang bakal diadakan pada 1-3 Mei tahun ini. Dan kepada sang pesimis atau kumpulan ‘mulut busuk’ yang suka mencemuh atau mempersoalkan segala sesuatu perkongsian yang dibuat oleh Prof Dr Solehah Yaacob, anda kini berpeluang untuk berbuat demikian secara langsung. Sila tampilkan diri anda dan lontarkan segala sesuatu yang sekian lama terbuku di sanubari anda.

Salam Ramadan untuk semua dan rajin-rajinlah kita bersugi supaya nafas kita sentiasa segar bugar hendaknya.

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 28/2/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -