
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan pelantikan Ketua Pembangkang baharu akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada perbincangan bersama pimpinan parti dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, keputusan berhubung jawatan itu tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya perlu mengambil kira pandangan pimpinan parti serta ahli Parlimen selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Jawatan itu saya tidak buat keputusan sendiri. Saya perlu mesyuaratkan dengan pimpinan parti dan bertanya kepada ahli-ahli Parlimen. Mengikut Standing Order, hak ahli Parlimen perlu diambil kira.
“Saya kena dengar pandangan pimpinan parti dan ahli-ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, hari ini.
Menurut beliau, Parlimen yang hanya berbaki dua hari untuk bersidang ketika ini memerlukan tumpuan terhadap isu-isu rakyat dan negara, termasuk perjanjian dengan Amerika Syarikat serta isu berkaitan Peguam Negara.
Sehubungan itu katanya, PN tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat pelantikan itu dan PAS juga mahu memperkukuh kedudukan gabungan PN dan memastikan jumlah sokongan Ahli Parlimen terus bertambah.
“Kita mahu memperkasakan Perikatan Nasional dan berusaha supaya seramai-ramai Ahli Parlimen bersama PN. Bukan sahaja daripada PN yang terdiri daripada PAS dan BERSATU, malah kita terbuka kepada parti-parti lain untuk menyertai PN,” katanya.
Beliau berkata, terdapat suara dalam Umno dan PKR yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti masing-masing dan perkara itu sedang diambil kira.
Ditanya mengenai kedudukan Dato’ Seri Hamzah Zainudin, beliau berkata, Hamzah masih memegang jawatan Ketua Pembangkang sehingga pengganti dilantik.
“Mungkin pada sesi persidangan akan datang akan ada penyusunan dan pelantikan baharu,” kata Tan Sri Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang.
Mengulas sokongan terhadap Hamzah, beliau berkata, pemimpin itu mendapat sokongan daripada ramai Ahli Parlimen PN, termasuk dirinya sendiri.
“Ada juga daripada MIC yang diberitakan akan bersama PN, tetapi itu belum sah. Mungkin ada lagi daripada parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ditanya sama ada PAS akan mengambil alih jawatan berkenaan, beliau berkata, tiada ketetapan dibuat setakat ini.
“Saya tidak tetapkan bahawa PAS akan ambil. Dalam PAS memang ada yang berminat, tetapi kita mesti ambil kira perhitungan politik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tidak terlibat dalam sebarang krisis dalaman BERSATU, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh PN.
Sementara itu, mengulas cadangan Ketua Pemuda PAS supaya Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai Perdana Menteri, Tuan Guru menyifatkan perkara itu masih di peringkat cadangan.
“Yang penting kita mahu pilih seorang pemimpin teknokrat yang diterima semua pihak dan mampu mengendalikan urusan rakyat dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2026











