Hina Islam: Kebiadaban langgar garis merah

Mohamad Haziq Irfan Mohd Suhaimi
- Advertisement -

TINDAKAN seorang pemuda yang memijak al-Quran bukan sekadar kebiadaban individu yang hilang adab. Ia adalah satu bentuk penghinaan terbuka terhadap agama Islam yang merupakan agama Persekutuan.

Perbuatan ini melampaui batas kebebasan bersuara dan memasuki wilayah provokasi yang berbahaya terhadap keharmonian nasional.

- Advertisement -

SiswaPAS menegaskan bahawa insiden ini bukan isu kecil yang boleh ditenangkan dengan kenyataan umum atau seruan bertenang semata-mata. Ini adalah ujian terhadap ketegasan negara dalam mempertahankan maruah agama dan kestabilan masyarakat.

Kami mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama yang menyatakan siasatan akan dijalankan dan tindakan tegas akan diambil dengan membawa pendekatan mengajar. Namun persoalannya, sejauh mana ketegasan dan pendekatan itu akan diterjemahkan dalam bentuk pendakwaan yang jelas dan hukuman yang setimpal ?

Rakyat sudah muak dengan skrip yang sama siasatan diumumkan, kenyataan dikeluarkan, tetapi kes berakhir dengan hukuman ringan atau senyap tanpa penjelasan. Jika perkara ini berulang, mesej yang dihantar kepada masyarakat ialah penghinaan terhadap agama boleh dinegosiasikan.

Lebih membimbangkan, insiden seperti ini membuka ruang kepada elemen provokatif untuk menguji batas toleransi umat Islam. Negara tidak boleh dilihat lemah dalam mengurus perkara yang menyentuh asas kepercayaan majoriti rakyat.

SiswaPAS berpandangan bahawa mempertahankan kesucian agama bukan soal ekstremisme. Ia soal konsistensi undang-undang dan prinsip kenegaraan.

Sehubungan itu, SiswaPAS mengemukakan tiga tuntutan utama:

Pertama, pendakwaan segera dan telus berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi. Kesalahan berikut boleh dikenakan pada seksyen 295 kanun keseksaan kerana menghina agama dan seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia 1998 kerana penggunaan media tidak wajar.

Kedua, perlu ada tindakan tatatertib dan tindakan tegas daripada pihak universiti sendiri.

Ketiga, menyeru semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti agar bersatu menyokong sebarang usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam.

Maka siswaPAS menyeru semua pihak yang berkenaan membuat tindakan lanjut untuk isu tersebut . Kami tidak akan berdiam diri dan tidak akan berkompromi melihat agama dihina dan negara bertindak separuh hati begini.

Jika kerajaan serius mempertahankan keharmonian negara, maka tindakan dalam kes ini mesti disegerakan tegas, cepat dan konsisten untuk menyelesaikannya.

Kami siswaPAS juga menyokong kenyataan Pemuda Pas Selangor untuk tidak teragak-agak bagi menggerakkan bantahan awam secara besar-besaran mengikut Akta Perhimpunan Awam, jika tiada tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku yang memuat naik hantaran gambar memijak al-Quran tersebut.

MOHAMAD HAZIQ IRFAN MOHD SUHAIMI
Pengerusi SiswaPAS

HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -