Calon Dr Sam Perdana Menteri: Masih peringkat cadangan

Teknokrat jadi keutamaan

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan cadangan Pemuda PAS supaya Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai Perdana Menteri sebagai masih di peringkat cadangan.

Beliau berkata, perkara berkenaan belum dimuktamadkan dan memerlukan pertimbangan sewajarnya.

- Advertisement -

“Yang penting kita mahu pilih seorang pemimpin teknokrat yang diterima semua pihak dan mampu mengendalikan urusan rakyat dengan baik,” katanya ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, hari ini.

Terdahulu, dalam satu hantaran Facebook Pemuda PAS Malaysia menggambarkan Menteri Besar Terengganu berkenaan sebagai seorang teknokrat dan pemimpin yang tenang serta berfokus kepada hasil.

Pemuda PAS berkata, Ahmad Samsuri yang juga dikenali sebagai Dr Sam bukan seorang ahli politik yang gemar berdrama, sebaliknya lebih dikenali sebagai pemimpin yang bekerja dalam diam tetapi membuahkan keputusan nyata.

Tinjauan reaksi pengguna media sosial tersebut menunjukkan hantaran berkenaan menerima sambutan kira-kira 21,300 tanda suka setakat ini, selain mendapat pelbagai komen sokongan.

Pengguna, Naim halim berharap pemimpin generasi baharu diberi peluang menerajui negara.

“Should give him chance to be next prime minister. New generation, fresh adaptation,” katanya.

Rizal Hj Mudi pula berpendapat negara memerlukan wajah baharu dalam kepimpinan dan menyatakan generasi muda kini sudah bosan dengan politik lama yang dianggap tidak konsisten antara kata dan tindakan.

“Kita bagi muka baru pula PM Malaysia seterusnya. Asyik muka lama sahaja yang di recycle. Orang muda dah bosan sebab cakap tak serupa bikin. Rakyat tak nak tengok PM yang kaki joget n asyik menghina rakyatnya sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Abd Halim Yahya dalam komen berasingan menzahirkan harapan agar Ahmad Samsuri Mokhtar diberi peluang memikul amanah kepimpinan pada masa depan.

“Saya mendoakan Dr Sam akan menjadi PM11 dan memberikan keadilan kepada rakyat Melayu Islam khususnya bila Melayu Islam semakin dizalimi di Tanah Tumpah Darah ini. Hapuskan rumah anutan haram, bertegas tanpa diberi pampasan atau tanah percuma kepada penceroboh tetapi hendaklah didakwa mengikut undang-undang.

“Kembalikan semula pendiddikan tulisan jawi kerana telah dipinggirkan serta ramai tidak mampu membacanya lagi. Permudahkan rakyat Melayu Islam memohon Tanah Rizab untuk tujuan pertanian, perladangan, perikanan dan penternakan.

“Insya-Allah selamat menjalankan amanah sebagai Pengerusi PN yang baru. Semoga Allah peliharalah Dr Sam dari musuh Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -