Kelantan terbuka siasatan SPRM jika ada asas kukuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan kesediaan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, sekiranya terdapat asas kukuh berhubung dakwaan amalan ‘anak-beranak’ dan salah guna kuasa dalam pentadbiran.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata, pentadbiran negeri tidak pernah menghalang mana-mana agensi penguat kuasa menjalankan tanggungjawab mereka sejak era kepimpinan Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita terbuka dari dahulu sampai sekarang. SPRM ada kuasa dan undang-undang sendiri untuk menyiasat. Jika ada asas untuk pendakwaan, teruskan. Kita tiada masalah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini.

Beliau mengulas gesaan yang tular di media sosial supaya SUK Kelantan disiasat susulan penahanan seorang Exco Kerajaan Terengganu oleh SPRM atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan ahli keluarga.

Menurut Dr. Fadzli, dakwaan pelantikan ahli keluarga dalam jabatan kerajaan negeri perlu dinilai secara adil dan berdasarkan fakta, bukan persepsi.

“Kalau pelantikan dibuat mengikut kelayakan dan memenuhi syarat, ia bukan satu kesalahan. Tetapi jika tidak cukup syarat dan tetap dilantik, itu memang wajar disiasat,” katanya.

Beliau turut menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tidak bersifat terpilih.

“Kalau SUK negeri lain boleh disiasat, siasatlah semua. Jangan hanya fokus kepada satu negeri sahaja. Kita mahu keadilan yang sama,” katanya.

Tambah beliau, dakwaan amalan ‘anak-beranak’ dalam pentadbiran bukan isu luar biasa dan boleh berlaku di mana-mana peringkat, termasuk di peringkat pusat, selagi individu yang dilantik mempunyai kelayakan dan melalui proses yang sah. –HARAKAHDAILY 26/2/2026

- Advertisement -