
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera, lebih efektif, telus dan bertanggungjawab susulan gangguan berulang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang menjejaskan perjalanan harian pengguna.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pengangkutan awam berkualiti tinggi bukan satu pilihan, sebaliknya keperluan asas rakyat.
“Gangguan berulang yang menjejaskan perjalanan harian pengguna serta mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang semakin parah bukan sahaja menyusahkan, malah menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam Malaysia secara keseluruhannya.
“Jika isu ini tidak ditangani secara tuntas, usaha kerajaan untuk menggalakkan peralihan kepada pengangkutan awam akan terus terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PN menggesa Kerajaan Madani memastikan perkhidmatan pengangkutan awam negara kembali diyakini serta berfungsi dengan lebih baik untuk rakyat.
Mewakili suara rakyat dan penyokong penyampaian perkhidmatan awam berkualiti, beliau menegaskan empat langkah kritikal dan realistik yang perlu diambil segera.
Pertama katanya, kerajaan perlu memperuntukkan dana khas dengan segera bagi menaik taraf LRT Laluan Kelana Jaya merangkumi peningkatan infrastruktur, sistem kawalan dan komponen kritikal yang berulang kali mengalami kerosakan.
Katanya, ia termasuk memastikan sistem yang usang dikemas kini dan standard kualiti operasi dipertingkatkan.
Kedua, beliau menuntut siasatan terperinci dan menyeluruh disegerakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan teknikal berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa ia termasuk sebarang kelemahan dalam penyelenggaraan, pengurusan sistem atau faktor lain yang menyebabkan gangguan berulang.
Ketiga, jelasnya, tindakan tegas perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kegagalan penyelenggaraan walaupun peruntukan sudah disalurkan.
“Ia termasuk tindakan tatatertib, pembaharuan kontrak atau penalti setimpal selaras peraturan yang berkuat kuasa,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut.
Keempat, tambah beliau, kerajaan perlu membentangkan pelan strategik jangka panjang termasuk penambahan gerabak kereta api.
Menurutnya, ia termasuk peningkatan kekerapan perkhidmatan serta sistem sokongan teknikal supaya pengguna mendapat perkhidmatan yang lebih efisien, tepat masa dan selamat.
PN, katanya lagi, prihatin terhadap insiden gangguan teknikal yang berulang kali melanda LRT Laluan Kelana Jaya.
Beliau menjelaskan, gangguan berkenaan termasuk dua gangguan besar yang berlaku pada waktu puncak perjalanan baru-baru ini sehingga menyebabkan ribuan pengguna terjejas dan memberi kesan besar kepada rutin harian mereka.
“Gangguan yang sering berlaku ini secara langsung menyebabkan ramai pengguna beralih kepada kenderaan persendirian.
“(Ia) Sekali gus meningkatkan kesesakan lalu lintas di seluruh bandar raya, khususnya di laluan utama ke pusat bandar dan kawasan perumahan.
“LRT Laluan Kelana Jaya merupakan antara laluan rel bandar paling kritikal di Lembah Klang, dengan jajaran sepanjang hampir 46 kilometer, merangkumi 37 stesen, dan kapasiti pergerakan ratusan ribu penumpang sehari pada hari bekerja.
“Sebarang gangguan pada laluan ini bukan insiden kecil, ia memberi kesan langsung kepada aliran mobiliti tenaga kerja, pelajar serta kelangsungan aktiviti ekonomi bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2026











