Presiden, Timbalan ziarah Mursyidul Am di Hospital P Pinang

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah menziarahi Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, di sini sebentar tadi

Mereka menyeru semua pihak untuk mendoakan agar Tuan Guru Mursyidul Am dikurniakan kesembuhan serta kesejahteraan.

“Marilah bersama-sama kita mendoakan agar Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, dikurniakan kesembuhan serta kesejahteraan.

“Ya Allah, Tuhan sekalian manusia, Yang menghilangkan segala kesusahan, sembuhkanlah (dia), Engkaulah Maha Penyembuh, tiada penyembuh selain Engkau, sembuhkanlah dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit,” kata mereka.

- Advertisement -

Selain itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Hospital Pulau Pinang serta seluruh pasukan doktor, ahli keluarga dan petugas kesihatan yang merawat dan menjaga Tuan Guru Mursyidul Am.

Terdahulu, anak perempuan Tuan Guru Mursyidul Am PAS, Husna Hashim memaklumkan bahawa Tuan Guru mengalami serangan jantung iskemik dengan kekuatan jantung sekitar 35 peratus serta komplikasi buah pinggang tahap empat hingga lima, paru-paru dan hati.

Menurutnya, Tuan Guru kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah, Perlis, sejak dimasukkan ke hospital pada 7 Februari akibat keadaan kesihatan yang semakin uzur.

Jelasnya, prosedur angiogram terhadap Tuan Guru tidak dapat dilakukan kerana risiko tinggi, manakala dialisis ringan yang dirancang turut tertangguh susulan kecederaan arteri di bahagian peha.

Bagaimanapun katanya, prosedur pemasangan stent berjaya dilaksanakan, namun beliau masih memerlukan pemantauan rapi serta dialisis ringan dan rawatan antibiotik akibat jangkitan paru-paru.

Terang Husna, keluarga memohon orang ramai tidak menziarahi beliau buat masa ini atas nasihat doktor dan merakamkan penghargaan atas doa serta keprihatinan semua pihak. – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -