
KUALA LUMPUR: Pelantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu disifatkan bukan sekadar pertukaran jawatan, sebaliknya petanda perubahan zaman dalam landskap politik Malaysia.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, pelantikan tersebut membawa mesej jelas bahawa negara sedang melangkah ke fasa kepimpinan generasi baharu.
Menurut beliau, selama lebih 20 tahun politik negara terperangkap dengan nama-nama besar generasi lama serta terlalu lama berlegar sekitar konflik personaliti dan sejarah silam.
“Bukan lagi politik dendam lama. Bukan lagi politik siapa kawan siapa musuh sejak 1998, tetapi politik penyelesaian.
“Bagi Dr Sam, politik bukan medan bertekak, ia adalah proses mencari titik persetujuan,”katanya.
Beliau menjelaskan, bagi mereka yang pernah duduk semeja dengan Naib Presiden PAS itu amat mengenali perwatakannya yang mementingkan rundingan, tidak gemar membuat keputusan tergesa-gesa, dan lebih selesa dengan perbincangan bersemuka berbanding konfrontasi terbuka.
Tambahnya, pendekatan itu menterjemahkan konsep Budaya Berpolitik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang bukan sekadar slogan, tetapi cara bekerja yang dipraktikkan oleh kepimpinan kepimpinan Ahmad Samsuri secara realiti.
Selain itu, beliau turut menyentuh peranan Dr Sam sebagai antara perintis awal idea kerjasama negeri-negeri Melayu melalui State Government 4 (SG4).
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai anjakan paradigma di mana negeri diangkat sebagai kuasa pembangunan, bukan lagi hanya bergantung kepada kehendak pusat.
“Bila orang lain masih bercakap soal parti, beliau sudah bercakap soal model pembangunan wilayah. SG4 bukan sekadar pertemuan Menteri Besar, ia percubaan mencipta keseimbangan ekonomi baharu agar pembangunan Malaysia tidak hanya berpusing di Lembah Klang sahaja,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman peribadi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu yang lalu, beliau mendedahkan pesanan pertama Dr Sam kepadanya bukanlah mengenai strategi kempen atau cara untuk menang, sebaliknya penegasan agar menamatkan pengajian di peringkat kedoktoran.
Dari situ, beliau menyedari perbezaan besar antara ahli politik dan negarawan di mana Dr Sam melihat politik sebagai satu amanah yang memerlukan keupayaan ilmu, bukan sekadar kedudukan.
“Pemimpin tanpa ilmu hanya mampu bercakap, tetapi pemimpin berilmu mampu merancang, menggubal dasar dan menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih jauh daripada sekadar populariti,” ujarnya.
Sebagai kesimpulan, beliau menyifatkan pelantikan ini adalah simbol perubahan pendekatan dari politik retorik kepada pentadbiran, dari emosi kepada rundingan, dan dari personaliti kepada idea.
Semalam, pelantikan Dr Sam sebagai Pengerusi PN yang baharu disahkan melalui satu kenyataan bersama oleh empat presiden parti komponen gabungan berkenaan, susulan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di Ibu Pejabat PAS. – HARAKAHDAILY 23/2/2026











