Kepimpinan Dr Sam diyakini perkukuh saf PN

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang menyifatkan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (atau Dr Sam) sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu sebagai langkah tepat dalam memperkukuh kesatuan saf dan memperkasa hala tuju gabungan itu di peringkat nasional.

Ketuanya, Zulfadli Zakariah berkata, kepimpinan Dr Sam terbukti berteraskan integriti, kompetensi serta keupayaan teknokrat diyakini mampu membawa pendekatan lebih tersusun dan berkesan dalam mendepani cabaran politik semasa.

- Advertisement -

“Pemuda PAS Pahang merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri atas perlantikan beliau.

“Pemuda PAS Pahang melihat perlantikan ini sebagai satu suntikan semangat baharu kepada seluruh jentera parti, khususnya generasi muda untuk terus memperkukuh gerak kerja mendekati rakyat dengan pendekatan matang, sejahtera dan berfokus kepada penyelesaian masalah sebenar rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Dr Sam yang juga merupakan Naib Presiden PAS, telah dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Perkara itu disahkan melalui kenyataan bersama oleh empat presiden parti komponen gabungan berkenaan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Pada 30 Disember 2025, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.

Zulfadli berkata, dalam konteks Pahang, kepimpinan Ahmad Samsuri diyakini akan memberi impak positif kepada pelaksanaan dan pengukuhan agenda Misi Teraju Pahang yang menekankan pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat, tadbir urus berintegriti serta penglibatan aktif anak muda dalam arus pembangunan negeri.

“Pemuda PAS Pahang percaya bahawa sinergi yang lebih erat antara kepimpinan pusat dan negeri akan mempercepatkan penyelarasan dasar, memperkukuh jaringan strategik serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak muda Pahang untuk terlibat secara langsung dalam agenda pembinaan masa depan negeri.

“Kami komited untuk terus berdiri teguh bersama kepimpinan Perikatan Nasional dan menggerakkan seluruh kekuatan pemuda sebagai barisan hadapan dalam memastikan aspirasi rakyat terus diperjuangkan dengan penuh iltizam dan tanggungjawab.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan, hikmah dan keberkatan kepada YAB Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri dalam memimpin amanah besar ini demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -