
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) ataupun PAS menerima dana judi adalah fitnah yang tidak pernah dibuktikan sehingga kini.
Beliau merujuk kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli dalam satu podcast yang menyentuh dakwaan dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu berhubung PN menerima dana judi.
Ustaz Ahmad Fadhli berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu sendiri menyatakan dakwaan berkenaan tidak dapat dibuktikan.
“Nah, sekarang Dato’ Seri Rafizi sendiri menyatakan bahawa ia (tuduhan PN menerima dana judi itu) merupakan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan.
“Jadi tak berdosa ke rasa menabur fitnah begitu wahai Perdana Menteri, wahai orang-orang yang berada yang menyokong Perdana Menteri pada hari ini, tak berdosa ke menabur fitnah seperti itu?
”Ish ish.. kalau nak sokong lagi, saya tak tahulah macam mana pemikiran dan juga otak kalian tuan-tuan berfungsi pada kali ini. Terima kasih Dato’ Seri Rafizi di atas pendedahan ini,” ulasnya dalam satu video di media sosial miliknya.
Dalam podcast berkenaan, Rafizi dipetik berkata bahawa pada peringkat awal mereka berasa malu apabila Anwar Ibrahim membuat ucapan mendakwa mempunyai bukti Perikatan Nasional menerima dana perjudian.
“Saya tak tahu siapa yang beritahu dia. Mungkin (bekas Menteri, Datuk Seri) Tengku Zafrul (Tengku Abdul Aziz) lah kut sebab dia Menteri Kewangan yang bertanggungjawab masa tu. Saya tak tahu kan. Tapi dia pun tak pernah tanya kita. Kita pun tak tahu. Kita ingatkan ada buktilah.
“Lepas seminggu jadi sebulan, lepas sebulan jadi satu tahun. Ingat tak senyap macam tu saja. Menuduh orang ambil duit judi ni sebenarnya benda yang besar kan. Jadi kalau tengok memang banyak tuduhan-tuduhan yang dibuat tetapi tidak ada bukti,” ulas Rafizi dalam podcast beliau.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad Fadhli berkata, beliau sudah beberapa kali membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat sejak 2022, sejurus selepas Perdana Menteri mengangkat sumpah dan dakwaan berkenaan dikemukakan.
Ustaz Ahmad Fadhli di Dewan Rakyat mencabar supaya audit forensik dijalankan jika benar terdapat bukti berhubung dakwaan itu.
“Perdana Menteri keluar daripada sidang media entah apa-apa mengaitkan kami pula dengan dana judi yang sehingga ke hari ini masih tidak boleh dibuktikan lagi.
“Sepatutnya nak lakukan audit forensik ke apa ke buatlah 25 jam sehari, silalah bayarlah elaun guna duit gaji Perdana Menteri yang tak diambil, bayar kepada petugas-petugas ini.
“‘Check’ akaun kami, ‘check’ akaun saya mana daripada dana judi. Tapi tidak boleh dilakukan dan dibuktikan. Kerana apa? Kerana ia merupakan perkara yang tak boleh dibuktikan sama sekali,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Dalam sesi lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut merujuk titah Yang di-Pertuan Agong supaya tiada fitnah di dalam dewan.
“Saya ingin nak ulangi sekali lagi bahawa fitnah yang sangat-sangat kami rasai ialah apabila PAS atau Perikatan Nasional dikatakan menerima dana judi yang sehingga ke hari ini tidak dapat dibuktikan.
“Berkali-kali saya bangkitkan di dalam dewan. Saya tanya pula menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-undang, ‘Mana buktinya?’ ‘Oh, dalam siasatan.’
“Saya tanya pula dalam soalan bertulis, dapat jawapan, dalam siasatan. Sampai ke hari ini tidak dibuktikan mana dana judi yang dimaksudkan itu
“Sebab inilah fitnah sudah dua tahun nak pilihan raya ni tak tahu bila lagi kita nak pilihan raya entah-entah bertukar kerajaan. Kita tak tahu sampai bila nak buktikan ni kami menerima dana judi.
“Jadi ini fitnah yang saya rasa perlu untuk ‘clarify’ semula oleh pihak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kalau dapat tarik balik, tarik baliklah,” katanya.
Ustaz Ahmad Fadhli berkata, tuduhan itu adalah serius dan diulangi oleh penyokong Pakatan Harapan ketika itu, kononnya PN yang dianggotai PAS menerima dana judi. – HARAKAHDAILY 22/2/2026











