Peniaga Bazar Ramadan dinasihat tak ulang jual makanan semalam

- Advertisement -

KETIBAAN bulan Ramadan al-Mubarak bukan sahaja menjadi medan ‘pesta ibadah’ untuk melipatgandakan amalan, malah ia turut membuka pintu rezeki yang luas buat para peniaga, khususnya di bazar-bazar Ramadan.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin bagaimanapun mengingatkan para peniaga bahawa kemeriahan mencari rezeki ini perlu diiringi dengan sifat jujur dan amanah agar menepati syariat Islam.

Beliau memberikan nasihat khusus kepada para peniaga bazar Ramadan agar mengelakkan sikap tamak sehingga sanggup mengulang jual makanan semalam yang tidak habis kepada para pembeli.

“Menyediakan makanan untuk orang yang berbuka puasa ini sangat besar ganjarannya, malah perniagaan itu sendiri boleh menjadi satu ibadah jika dilakukan dengan betul.

“Namun, peniaga perlulah jujur. Jangan sesekali kitar semula atau jual makanan semalam semata-mata kerana tidak mahu rugi. Ini melibatkan soal keberkatan rezeki, selain mendatangkan mudarat kepada kesihatan pembeli,” ujarnya.

Menurut beliau, para peniaga perlu sentiasa mengutamakan kebersihan dalam penyediaan juadah serta meletakkan harga yang wajar dan munasabah.

“Jangan fikir untung semata-mata sehingga mengabaikan kualiti. Rezeki yang sedikit, tetapi berkat itu lebih baik daripada keuntungan berlipat ganda namun dicemari penipuan,” tambahnya lagi.

Beliau turut memetik sebuah hadis yang menjadi sandaran buat sesiapa sahaja yang menyediakan juadah berbuka, sama ada peniaga mahupun ibu di rumah.

“Orang yang menyediakan makanan orang berbuka mendapat pahala sebagaimana orang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahalanya sedikit pun.” (Riwayat Tirmidzi).

Oleh itu katanya, untuk meraih ganjaran seperti dijanjikan dalam hadis tersebut, juadah disediakan sama ada untuk jualan mahupun sedekah mestilah halalan toyyiban (halal lagi baik) dan disediakan dengan ikhlas.

Sementara itu, Noraini yang mesra disapa sebagai Kak In turut menitipkan pesanan kepada para pembeli, khususnya golongan ibu dan ‘suri hati’ agar lebih bijak ketika berbelanja.

“Sediakan atau belilah juadah berbuka mengikut keperluan sebenar dan bukannya mengikut nafsu bagi mengelakkan amalan membazir. Pada masa yang sama, sokonglah peniaga-peniaga yang menjaga penampilan dengan menutup aurat dengan sempurna,” katanya.

Beliau juga menggalakkan masyarakat untuk mengambil peluang di bulan yang mulia ini untuk memperbanyakkan amalan bersedekah makanan kepada jiran tetangga dan mereka yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 22/2/2026

- Advertisement -