
ISMAILIAH, MESIR: Di sebalik ketegangan yang memuncak di sempadan, Yayasan Amal Malaysia berjaya melaksanakan pelepasan empat buah trak membawa muatan hampir 100 tan bantuan makanan untuk penduduk Gaza pada Jumaat, 2 Ramadan 1447H.
Konvoi bantuan tersebut, yang terdiri daripada tiga trak muatan tepung gandum dan sebuah trak pek makanan siap sedia, dijangka tiba dan dinikmati oleh penduduk di wilayah bergolak itu seawal Ahad atau Selasa depan.
Kerjasama strategik antarabangsa
Majlis pelepasan tersebut dilakukan di gudang pengumpulan makanan di Ismailiah yang diselaraskan oleh pertubuhan kemanusiaan berpangkalan di Turkiye, Gazze Destek Derneği (GDD).
Bagi memastikan kelancaran logistik, GDD bekerjasama rapat dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
Langkah itu diambil bagi mematuhi protokol ketat di pintu sempadan, memandangkan pihak berkuasa Israel sering melakukan sabotaj sistematik terhadap bantuan kemanusiaan.
“Pihak Zionis sering memberikan alasan tidak munasabah seperti isu piawaian, kualiti, dan timbangan untuk menolak masuk barangan asas seperti susu, daging, dan ubat-ubatan,” ujar kenyataan agensi tersebut.
Cabaran di Rafah tidak halang misi
Meskipun zon Rafah dilaporkan mengalami bedilan hebat semalam yang mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dan kekacauan dalam kalangan pelarian, delegasi Malaysia tetap optimis bantuan ini mampu menembusi Jalur Gaza bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin di minggu pertama Ramadhan.
Delegasi tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Norazman Ishak bersama pasukan Yayasan Amal Kelantan, Nazman Che Iberahim, Norhaiti Ibrahim, dan Nazri Deraman.
Turut disertai wakil negeri, Ustaz Azmuddin Zainuddin (Kedah), Ustaz Mohd Sukor Yaacob (Perlis), dan Omar Abdullah (Pulau Pinang).
Delegasi tersebut juga mendapat sokongan wakil NGO Yemen Care, Ustaz Muhammad Nasiruddin Othman, Syed Husain Solahuddin, dan Muhammad Kamil Azudin.
Yayasan Amal Malaysia menyeru orang ramai untuk terus memberikan sokongan moral dan material bagi memastikan kelangsungan bantuan ke Gaza. – HARAKAHDAILY 21/2/2026














