‘Sekalipun betul, mengapa tidak permudah urusan dakwah di KL?’

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menempelak tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak mempermudahkan urusan usaha dakwah di Kuala Lumpur.

Ia susulan tindakan DBKL merampas reruai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Jalan Bukit Bintang baru-baru ini dengan menyatakan alasan menghalang laluan.

Naib Ketuanya, Mohd Faizzuddin Mohd Zai berkata, secara peribadi beliau melihat tiada alasan untuk tidak membantu memudahkan operasi dakwah berkenaan, walaupun terdapat dakwaan reruai NGO itu menghalang lalu lintas.

“Sekalipun betul reruai tersebut menghalang lalu lintas, ia telah dinafikan oleh NGO Multiracial Reverted Muslims.

“Namun sekali lagi saya ulang, sekalipun betul, kenapa kita tak permudahkan urusan tersebut? Kita tak tolong pindahkan, beri ruang yang lebih sesuai, dukung dan ‘facilitate’ usaha dakwah tersebut,” katanya dalam satu video.

Mohd Faizzuddin berkata, Islam adalah agama Persekutuan Malaysia dan merupakan agama majoriti masyarakat di negara ini serta terbukti membawa kebaikan kepada masyarakat sejagat.

Beliau turut menegaskan NGO berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah atau ajaran sesat, malah pertubuhan itu sedikit sebanyak membantu membanteras dan mengekang jenayah yang berleluasa di Kuala Lumpur melalui usaha dakwah dijalankan.

Katanya, NGO terbabit juga berperanan memberi penerangan kepada masyarakat yang salah faham terhadap Islam.

“Kenapa kita tak boleh bantu permudahkan urusan-urusan dakwah tersebut?” soalnya lagi.

Terdahulu media tempatan melaporkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan DBKL merampas reruai MRM di Jalan Bukit Bintang dengan menyatakan alasan menghalang laluan tidak konsisten serta membandingkannya dengan isu sebuah kuil di ibu negara.

- Advertisement -

DBKL mendakwa tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut undang-undang selepas mendapati berlaku pelanggaran peraturan pemasangan khemah di laluan awam dan tiada wakil tampil memberi kerjasama selepas menunggu lebih 30 minit.

Sehubungan itu, Firdaus menafikan dakwaan itu dengan menegaskan bahawa terdapat sukarelawan di lokasi, mempersoalkan ketiadaan kompaun dan inventori rampasan serta mencabar DBKL mengeluarkan rakaman CCTV sebagai bukti. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -