
KAHERAH, MESIR: Satu delegasi daripada Yayasan Amal Malaysia baru-baru ini mengadakan mesyuarat kerja dan dialog penting bersama Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bagi memperkukuh operasi kemanusiaan untuk Semenanjung Gaza.
Delegasi yang mewakili nadi masyarakat sivil Malaysia itu bertemu Pengarah ERC, Muhammad Muhyi bagi membincangkan kerumitan logistik serta masa depan pengagihan bantuan di rantau berkenaan.
Yayasan Amal Malaysia diwakili oleh satu pasukan yang diketuai Ustaz Azmuddin Zainuddin bersama Nazman Che Iberahim, Norhaiti Ibrahim, Nazri Deraman, Mohd Sukor Yaacob dan Omar Abdullah.
Dalam sesi berkenaan, Muhammad Muhyi merakamkan penghargaan tulus kepada Yayasan Amal Malaysia dan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan Palestin melalui ERC.
Beliau menyatakan bahawa meskipun sebelum ini kerjasama mereka hanya dizahirkan melalui paparan logo pada poster dan sepanduk, pertemuan bersemuka itu menandakan evolusi penting dalam hubungan kedua-dua pihak, daripada kerjasama simbolik kepada persaudaraan peribadi yang mendalam dalam khidmat kemanusiaan.
Bagi pihak Yayasan Amal Malaysia, Nazman bersama delegasi menyambut baik penghargaan ERC itu.
Beliau menyatakan bahawa walaupun sekian lama hanya bertukar logo dari kejauhan, ‘takdir telah menemukan kita dalam satu majlis yang sederhana namun amat bermakna’, sekali gus mencipta mercu tanda baharu bagi kerjasama masa hadapan.
Perbincangan turut menyentuh perubahan fasa krisis yang sedang berlaku.
Yayasan Amal Malaysia menegaskan bahawa walaupun fasa ‘kecemasan’ ketika ini tertumpu kepada penghantaran besar-besaran ubat-ubatan, makanan dan tempat perlindungan asas, terdapat keperluan mendesak untuk melihat ke hadapan.
Yayasan itu mencadangkan agar peringkat seterusnya dalam kerjasama erat ini memberi tumpuan kepada pembinaan semula infrastruktur kritikal termasuk sekolah, hospital, masjid dan kemudahan penting lain bagi memulihkan maruah serta kehidupan di Gaza.
Namun, mesyuarat itu turut membincangkan realiti getir penghantaran bantuan.
Muhammad Muhyi menekankan sabotaj berterusan dan halangan sistemik yang dikenakan pihak berkuasa Israel.
Beliau mendedahkan bahawa sejumlah besar bantuan antarabangsa termasuk susu, daging, bijirin, makanan dalam tin dan ubat-ubatan kerap ditolak atau dilupuskan oleh Israel.
Menurutnya, Israel bertindak demikian atas pelbagai alasan tidak munasabah seperti gagal memenuhi ‘piawaian sewenang-wenangnya’ atau percanggahan berat.
Beliau menyifatkan taktik itu sebagai usaha sengaja untuk menyekat aliran sumbangan global kepada rakyat Gaza.
Memperkukuh komitmen terhadap pendekatan pelbagai hala, Yayasan Amal Malaysia menegaskan semula pakatannya dengan Yemen Care yang diketuai Ustaz Muhammad Nasiruddin Othman serta Gaza Support Association (GDD – Gazze Destek Derneği) yang berpangkalan di Turkiye.
GDD, sebuah NGO kemanusiaan yang ditubuhkan sejak 2014, kekal sebagai rakan utama dalam penyediaan makanan panas dan bantuan lestari di Gaza, Syria dan Yaman.
Yayasan Amal Malaysia yang diwakili Ustaz Azmuddin bersama pasukannya menutup pertemuan dengan ikrar komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus bekerjasama dengan ERC, GDD dan Yemen Care.
Ia bagi memastikan bantuan menyelamatkan nyawa terus menembusi sekatan dan sampai kepada keluarga paling terjejas di Gaza. – HARAKAHDAILY 20/2/2026














