
KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan adalah masa terbaik untuk memperbaiki corak pemakanan supaya lebih sihat.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, ketika berbuka puasa, umat Islam disaran tidak ‘balas dendam’ dengan mengambil makanan secara berlebihan, sebaliknya memulakan dengan dua hingga tiga biji kurma dan air kosong terlebih dahulu.
“Ramadan ini masa terbaik untuk kita baiki corak pemakanan kita supaya lebih sihat,” katanya dalam media sosial miliknya.
Mengulas kepentingan sahur, beliau menegaskan waktu berkenaan adalah ‘kunci’ untuk memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang hari berpuasa.
Menurutnya, individu yang tidak bersahur akan kehilangan peluang mengisi tenaga, sekali gus menyebabkan paras gula dalam darah turun dengan cepat dan mengakibatkan gejala seperti pening, lesu serta sukar fokus.
Beliau memaklumkan waktu paling ideal untuk bersahur adalah kira-kira setengah jam sebelum imsak.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pengambilan mi segera dan makanan terlalu manis ketika sahur kerana ia adalah karbohidrat ringkas yang membebaskan tenaga dengan cepat dan menyebabkan rasa lapar kembali dalam tempoh singkat.
“Makanan manis pula bagi tenaga ‘palsu’ menyebabkan gula darah akan naik mendadak, tapi sekejap lepas tu ia akan turun drastik dan buat badan terus lesu,” ulasnya.
Sebaliknya, beliau menyarankan pengambilan karbohidrat kompleks seperti oat, nasi perang atau roti bijirin penuh kerana ia lebih lambat dihadam dan membantu mengekalkan tenaga lebih lama.
Dr Suhazeli turut menekankan kepentingan protein dalam hidangan sahur seperti telur, ayam, ikan, tempe dan kekacang bagi memastikan rasa kenyang berpanjangan serta membantu mengekalkan jisim otot.
Menyentuh aspek hidrasi, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak minum air dalam kuantiti banyak secara sekali gus sebelum azan Subuh kerana ia hanya akan menyebabkan kekerapan ke tandas meningkat.
Sebaliknya, beliau menyarankan pengambilan air secara berperingkat dari waktu berbuka hingga sahur, termasuk mengamalkan teknik dua cawan setiap jam bagi memastikan tubuh kekal terhidrat.
Beliau juga menasihatkan supaya berhati-hati dengan minuman berkafein seperti teh dan kopi yang bersifat diuretik serta makanan terlalu masin yang boleh menyebabkan rasa dahaga pada siang hari.
Sebagai tip tambahan, beliau mencadangkan pengambilan pisang untuk mengekalkan tahap potasium, kurma sebagai sumber tenaga segera yang kaya serat serta yogurt bagi membantu sistem penghadaman dan mengurangkan rasa dahaga. – HARAKAHDAILY 20/2/2026












