Isu ladang babi, binaan haram bukan diskriminasi

Roslan Shahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu larangan ladang babi serta pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di Selangor bukan berbangkit atas dasar diskriminasi atau menafikan hak mana-mana pihak, sebaliknya demi memelihara kesejahteraan semua.

- Advertisement -

Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ladang babi di Selangor sudah lama menjadi isu yang mengganggu alam sekitar dan kehidupan rakyat sehingga menimbulkan pelbagai mudarat, sekali gus memaksa keputusan drastik diambil.

Menurutnya, titah Sultan Selangor yang mengharamkan ladang itu di negeri berkenaan adalah bertujuan memelihara kebajikan dan keselamatan rakyat tanpa motif lain.

“Begitu juga dalam hal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Syarat kebenaran adalah tanah mestilah dimiliki dengan secara sah mengikut undang-undang dan dibina dengan mematuhi peraturan sedia ada.

“Sebarang pembinaan di atas tanah sama ada milik kerajaan ataupun pihak lain adalah haram dan menyalahi undang-undang, ini bukan perkara baru tetapi sudah begitu sekian lama,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Beliau menegaskan, tindakan memastikan tiada lagi binaan seumpama itu selain PBT bertindak terhadap binaan haram bukanlah diskriminasi, sebaliknya usaha menjunjung dan mendaulatkan undang-undang.

Roslan turut mengingatkan supaya tiada pihak cuba menjadi ‘juara’ sehingga mengganggu keamanan dan kestabilan hidup rakyat serta negara.

Mengulas isu toleransi kaum dan agama yang sering menjadi polemik, beliau berkata sejarah membuktikan masyarakat Melayu adalah kaum yang paling berlapang dada dalam hubungan antara kaum.

Katanya, demi membebaskan negara daripada penjajahan dan berdiri atas kaki sendiri, orang Melayu menerima kaum migran Cina dan India ketika itu yang memilih untuk terus tinggal di Malaya sebagai saudara, termasuk berkongsi kewarganegaraan.

“Kaum Cina dan India yang diserap menjadi warganeagara ketika itu bukannya wargangera kelas kedua atau ketiga tetapi setanding dengan orang-orang Melayu, warga asal tanah air bertuah ini.

“Cuma Perlembagaan Persekutuan negara ketika itu memberikan beberapa keistimewaan kepada orang-orang Melayu selaku penduduk asal Malaya dengan beberapa hak dan keistimewaan.

“Tetapi hari ini setelah lebih 70 tahun Merdeka kita melihat apa sahaja hak dan kesitimewaan yang dijamin perlembagaan itu tidak pun mendiskriminasi sehingga menganggu kehidupan masyarakat bukan Melayu.

“Malah masing-masing dapat berkongsi tinggal dalam negara ini dengan aman dan bebas tidak seperti di negara-negara lain dimana kaum minoriti ditindas dan hidup seakan warga kelas kedua,” hujahnya.

Beliau berkata, kebebasan beragama serta hak mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing terus terpelihara, malah kaum bukan Melayu bebas dipilih sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri sehingga ada yang dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri, EXCO dan Ketua Menteri.

Menurutnya, sekolah bahasa ibunda turut diberi kebenaran dan geran kerajaan, begitu juga rumah ibadat dengan syarat mematuhi undang-undang serta peraturan.

“Walau negara ini punya Yang Dipertuan Agong dan Sultan di negeri-negeri dari kalangan Raja-raja Melayu, namun bintang dan darjah-darjah kebebasan turut dianugerahkan kepada mereka sehingga ada yang bergelar Tun, Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk.

“Kerana itu demi mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam negara semua pihak perlu toleran dan hormat-menghormati antara satu dengan lain.

“Jangan pandang sesuatu isu itu dengan kacamata prejudis kerana ianya hanya akan menyemarakkan ketegangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -