PASTI Gombak santuni Ramadan melalui AI

Video khas bertemakan ‘Niat Puasa Ramadan’ dihasilkan PASTI Gombak yang kini mendapat perhatian meluas di media sosial.
- Advertisement -

GOMBAK: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Gombak tampil dengan pendekatan kreatif dan mendidik apabila menerbitkan video khas bertemakan ‘Niat Puasa Ramadan’ yang kini mendapat perhatian meluas di media sosial.

- Advertisement -

Pihak pengurusan PASTI Gombak dalam kenyataannya berkata, inisiatif yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebooknya bukan sekadar kandungan biasa, sebaliknya menjadi medium tarbiah awal kepada kanak-kanak agar memahami kepentingan niat sebagai asas ibadah, selari dengan sabda Rasulullah SAW bahawa setiap amalan bergantung kepada niat.

“Video berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Azwan Fadhli dengan memanfaatkan kemudahan teknologi terkini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam aspek suntingan, reka bentuk visual, animasi serta pengayaan audio,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, pendekatan tersebut menjadikan penyampaian lebih interaktif, jelas dan mudah difahami, khususnya dalam konteks pendidikan awal Islam yang mesra kanak-kanak serta sesuai dengan landskap digital masa kini.

“Penerapan teknologi dan AI dalam penghasilan kandungan pendidikan adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan pedagogi Islam agar tidak ketinggalan dalam arus Revolusi Industri 4.0.

“Teknologi adalah alat. Jika dimanfaatkan dengan niat yang betul dan berpaksikan syariah, ia menjadi wasilah dakwah dan pendidikan yang sangat berkesan, khususnya kepada generasi muda,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menegaskan, penggunaan teknologi  tersebut bukan bertujuan menggantikan peranan guru, sebaliknya memperkukuh proses penyampaian ilmu agar lebih berkesan, tersusun dan relevan dengan generasi yang membesar dalam persekitaran digital.

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan PASTI Gombak berkata, pendekatan berkenaan mencerminkan anjakan paradigma dalam pendidikan Islam di peringkat akar umbi, iaitu keberanian untuk menguasai teknologi dan bukan sekadar menjadi pengguna pasif.

“Dalam dunia digital yang sarat dengan kandungan hiburan melalaikan, penggunaan AI dan media kreatif untuk tujuan pendidikan agama adalah satu bentuk jihad ilmu yang wajar dihargai dan diperluas. 

“Teknologi tidak harus dibiarkan menjadi alat hedonisme, tetapi perlu ditundukkan sebagai instrumen pembinaan ummah,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, respons positif daripada penonton yang membanjiri ruangan komen turut membuktikan masyarakat dahagakan kandungan mendidik yang berkualiti, profesional dan berjiwa Islam. 

“Sokongan dalam bentuk tontonan, perkongsian serta pertambahan pengikut disifatkan bukan sekadar angka, tetapi lambang solidariti terhadap usaha memperkukuh pendidikan Islam yang progresif dan berprinsip,” ujar kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, orang ramai turut diseru supaya terus menyokong serta mengikuti platform rasmi PASTI Gombak dan menonton video berkenaan  yang telah dimuat naik.

“Ramadan mengajar tentang niat dan keikhlasan, manakala teknologi memberi ruang untuk memperluas manfaat. 

“Gabungan kedua-duanya secara berhemah dilihat mampu melahirkan bentuk pendidikan yang moden dan inovatif tanpa mengabaikan asas wahyu, demi membina generasi berakhlak, berilmu serta berdaya saing untuk masa depan negara dan ummah,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -