Rakyat patuh jadi mangsa, penceroboh diberi kelebihan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dituntut menangani isu pencerobohan tanah yang semakin membarah di negara ini secara adil, tegas dan mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang elemen intimidasi, gesa Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

- Advertisement -

​Ketua Portfolio Undang-Undang Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan pantas berlandaskan undang-undang penting bagi mengelakkan rakyat yang patuh pada peraturan menjadi mangsa, manakala pihak penceroboh pula seolah-olah diberikan kelebihan.

​Menurutnya, dalam keadaan kerajaan hari ini sedang berdepan dengan defisit kepercayaan begitu serius, maka isu pencerobohan tanah yang sangat dekat dengan hati rakyat ini tidak wajar dibiarkan berlarutan.

​”Saya memandang serius dua isu dalam negara yang sangat menggusarkan rakyat mutakhir ini, iaitu pengendalian kes pencerobohan tanah menafikan hak pemilik tanah yang sah, serta layanan terhadap aktivis masyarakat, Tamim Dahri semasa dalam tahanan,” katanya.

​Mengulas dari sudut perundangan, beliau yang juga Ahli Parlimen Besut menjelaskan bahawa kes-kes duluan seperti kes Segar Restu (M) Sdn Bhd (1994) dan penghakiman Sidek bin Haji Muhammad (1982) telah menegaskan hak pemilik tanah untuk mengusir penceroboh tanpa memerlukan perintah mahkamah.

​Tambahnya, penghakiman-penghakiman tersebut adalah selari dengan Seksyen 340 Kanun Tanah Negara yang menetapkan bahawa hak milik berdaftar dipegang oleh pemilik sah adalah muktamad dan tidak boleh disangkal (indefeasible).

​”Fakta ini secara langsung menyangkal dakwa-dakwi yang melabel pemilik tanah yang sah atau wakilnya, seperti saudara Tamim, sebagai melampaui batas undang-undang.

​”Tambahan pula, sudah terbukti secara hitam putih bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan surat yang menyatakan pemilik tanah perlu menyelesaikan sendiri masalah binaan tanpa kebenaran di atas tanahnya,” tegas beliau.

Che Mohamad turut mempersoalkan ketiadaan tindakan pihak berkuasa terhadap 687 buah kuil tanpa kebenaran di Selangor seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor sebelum ini.

​Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tampil memberikan penjelasan segera berhubung dakwaan pelanggaran prosedur dan hak asasi terhadap Tamim ketika dalam tahanan polis.

​Jelas beliau, pendedahan aktivis tersebut yang mendakwa dilayan kasar, diarahkan berbogel di hadapan pegawai polis, serta dinafikan permintaan untuk mendapatkan senaskhah al-Quran adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

​Amalan membogelkan tahanan itu tegasnya, jelas menyalahi syor Suruhanjaya Bebas yang ditubuhkan sekitar 20 tahun lalu yang memutuskan perbuatan tersebut sebagai mencabuli hak asasi manusia dan haram di sisi syarak.

​”Di peringkat antarabangsa, kita sering mengecam kezaliman rejim Zionis dan pihak berkuasa di Amerika Syarikat terhadap tahanan mereka.

​”Sekiranya dakwaan saudara Tamim ini benar, tidakkah memalukan apabila pihak berkuasa yang memakai lencana berserta kalimat ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ di dada sanggup berkelakuan serupa terhadap rakyat sendiri di negara kita?” soalnya. – HARAKAHDAILY 19/2/2026

- Advertisement -