Ahli PAS Perlis berjiwa besar

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH seminggu selepas tulisan ‘Surat Terbuka Kepada Ahli PAS Perlis’ yang dihantar oleh Presiden PAS, perbincangan terbuka mengenai krisis perletakan jawatan Menteri Besar Perlis oleh Mohd Shukri Ramli, telahpun hilang dari alam maya.

Secara jelas, ini menunjukkan ketaatan yang diberikan oleh ahli PAS Perlis dalam menjaga adab berjemaah, adalah sangat tinggi. Sikap ini mesti dipuji kerana sekali gus telah menghilangkan fitnah kepada jemaah.

- Advertisement -

Bagi kita yang berada di luar dari lingkungan mereka dan mungkin dengan kefahaman dan maklumat terhad, merasakan yang tindakan mereka itu waktu kejadian berlaku tidak patut diluahkan sebegitu.

Namun kita tidak berada dalam kasut mereka, pastinya hanya berteka teki. Maka mereka meluahkan apa yang mereka tahu dan yakin benar. Oleh itu, isu ini dilihat menjadi sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi ia menjadi bahan tohmahan ada pergeseran antara Presiden dan Mursyidul Am.

Apapun, pimpinan tertinggi telah mengeluarkan arahan dan dengan jelas mengatakan tindakan pimpinan berdasarkan maklumat yang tepat dan keputusan yang diyakini terbaik.

Maka sebagai ahli jemaah yang patuh, selagi keputusan itu tidak mengajak secara terang-terangan kepada dosa besar (dan tidak pernah terjadi dalam sejarah PAS memutuskan untuk berbuat dosa besar), maka ahli wajib taat kerana ia adalah idea atau strategi pimpinan yang melihat dari sudut pandang yang menyeluruh.

Inilah nilai yang sangat tinggi yang dimiliki oleh PAS iaitu walak ataupun ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada keputusan pimpinan. Ia tiada dalam jemaah lain. Kali terakhir kelompok yang menentang keputusan pimpinan dalam PAS, mereka telah dicampak keluar oleh perwakilan.

Apabila duduk dalam jemaah lain, mereka cuba meniru, melawan dan mengaku akan menggantikan PAS, tetapi malangnya, jangan kata orang luar parti mereka, malahan bukan sedikit ahli mereka sendiri yang sinis terhadap usaha Islam yang mereka bawa.

Ada juga ahli yang marah kepada pimpinan PAS yang masuk ke dalam parti lain, tetapi dia tidak diterima sebagai pembawa Islam kerana parti yang dipilih itu, sememangnya tidak menyukai agenda Islam. Islam hanya digunakan ketika mencari undi sahaja.

Manakala PAS tetap dengan keunggulannya sendiri. Kekal berdiri dengan agenda Islam. Tidak rebah ditolak, tidak jatuh dibentes, tidak peduli dengan kata nista. Ia bukan kali pertama PAS menghadapi isu dalaman ini. Alhamdulillah semuanya berjaya diatasi apabila ahli PAS menyerahkan keputusan kepada pimpinan.

Tahniah sekali lagi kepada ahli PAS Perlis yang berjiwa besar, menamatkan kekalutan isu ini dengan memberikan ketaatan sepenuhnya kepada pimpinan. Insya-Allah anda akan menerima kebaikan daripada kehebatan jiwa ini.

MOHD NASIR ABDULLAH
19 Februari 2026 – HARAKAHDAILY 19/2/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -